TAMPIN – Seorang ibu merayu sumbangan orang ramai bagi membantu menyelesaikan bayaran kos perubatan anak bongsunya, Narolamzah Baharin, 42, yang sedang dirawat di Hospital Universiti Soon Chun Hyang, Cheonan di Korea Selatan sejak 30 Disember tahun lalu akibat radang paru-paru kronik.
Rohani Manap, 73, berkata, kos bagi perubatan anak lelakinya sehingga 5 Januari lalu dianggarkan berjumlah RM39,000 dan kos berkenaan dijangka semakin meningkat memandangkan anaknya itu masih dirawat di hospital berkenaan.
Menurutnya, urusan anaknya di hospital berkenaan kini dibantu oleh wakil Wisma Putra, namun pihak keluarga masih perlu menampung kos rawatannya.
“Narolamzah mengikuti rakannya ke Korea sejak Jun 2019 dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada Mac tahun lalu, namun terkandas di sana susulan Covid-19.
“Hampir setiap hari kami berhubung, namun dia sentiasa menyatakan dia sihat. Sakitnya itu hanya diketahui apabila rakannya beritahu kami pada 29 Disember lalu selepas keadaan kesihatannya semakin teruk,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Bukit Rokan Utara, dekat sini semalam.
Sementara itu, kakak Narolamzah, Anis Baharin, 49, berkata, adiknya itu kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Apa yang kami bimbang ialah kos rawatan yang mungkin mencecah lebih RM40,000.
“Sehingga kini, kami hanya mampu mengumpul dana RM5,000 bagi menjelaskan bil perubatannya,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga tersebut boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB, Anis Baharin bernombor 7017-9382-01.