JOHOR BAHRU – Kerajaan disarankan agar memberi fokus dalam menangani masalah banjir dan penularan Covid-19 terlebih dahulu sebelum melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kerajaan perlu memastikan kedua-dua isu tersebut ditangani terlebih dahulu sebelum melihat keperluan mengadakan pilihan raya.
Menurutnya, satu tinjauan pendapat dalam kalangan masyarakat perlu diadakan sama ada perlu atau tidak ia dilaksanakan.
“Kita (kerajaan) hari ini fokus kepada isu ‘double trouble’ iaitu bukan sahaja masih berdepan Covid-19 tetapi juga banjir di beberapa negeri termasuk Johor ketika ini.
“Kena buat survey, media boleh bantu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang bermesyuarat pada Rabu antaranya menggesa PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama tahun ini bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat, namun tertakluk kepada keadaan Covid-19. -K! ONLINE