fbpx

Doktor dakwa vaksin Covid-19 Sinopharm paling tidak selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAO LINA

BEIJING – Seorang doktor di China mencetuskan kontroversi selepas menyifatkan vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh firma tempatan, Sinopharm sebagai ‘paling tidak selamat di dunia’, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Dr Tao Lina yang merupakan seorang pakar vaksin dari Shanghai, berkongsi perkara itu kepada 4.8 juta pengikut di akaun media sosial Weibo Selasa lalu. Dia berkata, vaksin tersebut mempunyai 73 kesan sampingan.

Bagaimanapun, pakar perubatan itu kelmarin menafikan bahawa dia mengkritik vaksin berkenaan selepas komennya dilaporkan secara meluas di luar China.

Tao mendakwa bahawa media asing ‘memutar belit’ dan ‘mengeksploitasi’ kata-katanya.

Katanya, perkongsian kontroversi itu telah ditaip dalam nada ‘penuh sindiran’. Kini, perkongsian itu sudah dipa­damkan.

Doktor itu kini menegaskan bahawa vaksin China itu ‘amat selamat’ dan meminta maaf kepada penduduk China kerana pilihan kata-kata yang ‘kurang bijak’.

Sehari sebelum Tahun Baru 2021, pihak berkuasa Beijing memberi kelulusan bersyarat untuk vaksin Sinopharm yang didakwa mempunyai kadar keberkesanan sehingga 79.34 peratus.

China berhasrat melakukan program vaksinasi terhadap berjuta-juta penduduknya, sebahagian besar membabitkan petugas barisan hadapan dan golongan pekerja berumur 18 hingga 59 tahun menjelang Tahun Baru Cina pada pertengahan Februari ini.

Antara dakwaan kesan sampingan vaksin Sinopharm termasuk sakit di sekitar tempat disuntik, sakit kepala, tekanan darah tinggi, hilang daya penglihatan dan kerap hendak membuang air kecil.

Kenyataan Tao sebelum ini disiarkan portal berita di luar tanah besar China termasuk Apple Daily, Voice of America dan Taiwan News.

Portal berita bawah se­liaan Parti Komunis China iaitu China.com turut melaporkan perkongsian Tao tetapi sudah memadamkannya.

Bagi membuktikan tahap keselamatan vaksin itu kepada pengikutnya, Tao berkata bahawa dia sudah menerima dos suntikan pertama vaksin ­Sinopharm dan bakal mengambil dos kedua esok. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI