KEMAMAN – Banjir yang melanda daerah ini sejak Ahad lalu bukan sahaja melimpah ke Balai Bomba dan Penyelamat Chukai di sini malah menjejaskan kediaman 11 pegawai dan anggotanya yang dinaiki air sehingga tiga meter.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan langsung keazaman pegawai dan anggota bomba terbabit yang terus komited melakukan tugasan menyelamat dan membantu pemindahan mangsa banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok di sini turut dinaiki banjir pada Rabu lalu.
“Saya sedang bertugas sewaktu rumah saya ditenggelami banjir. Habis semua perabot, komputer riba, mesin basuh, peti sejuk dan tilam terendam.
“Begitupun saya sempat mengemas pakaian keluarga danmendaftar isteri dan tiga anak ke pusat pemindahan sementara (PPS) lebih awal,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, beliau sekeluarga sudah empat kali berhadapan dengan banjir sejak menetap di rumahnya di Bandar Baru Bukit Mentok pada tahun 2014. -K! ONLINE