IPOH – Bersihkan tompokan darah, kemas serta kunci rumah dari dalam antara yang dilakukan penjenayah bagi menutupi kejadian bunuh tukang masak di sebuah rumah di Taman Pasir Saujana di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, polis pada awalnya menyiasat penemuan mayat mangsa, Wong Keng Yee, 50, sebagai mati mengejut namun menukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas memperoleh hasil bedah siasat.
“Bedah siasat terhadap mangsa mendapati dia meninggal dunia akibat pendarahan di dalam otak selain ada kesan hentakan dan juga kecederaan pada bahagian perut serta belakang mangsa.
“Pasukan forensik polis datang kembali ke lokasi kejadian hari ini (semalam) dan menjumpai beberapa tompokan darah di dua bilik di bahagian atas rumah yang sudah dibersihkan selain rumah juga dalam keadaan kemas,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian lewat malam tadi.
Tambah A. Asmadi, suspek juga telah menutup ruang udara di bawah pintu bilik mangsa yang dikunci dari dalam dengan tujuan agar bau busuk daripada mayat mangsa tidak keluar.
Menurut Asmadi, mayat mangsa ditemui dalam keadaan meniarap di atas katil di bilik atas rumah yang didiami mangsa yang bujang dan bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran sushi di bandar raya ini.
“Mayat mangsa ditemui anak saudara perempuannya yang berusia 32 tahun ketika dia datang untuk membersihkan rumah mangsa pada Khamis lalu sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah pada mayat mangsa yang dianggarkan meninggal dunia dalam tempoh 36 jam sebelum ditemui,” katanya. -K! ONLINE