fbpx

ATM patahkan cubaan seludup 548 ekor murai batu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguatkuasa Perhilitan merampas 548 ekor burung Murai Batu hasil operasi Op Benteng yang dijalankan ATM di Pos Tanjung Sepang, Pengerang, Kota Tinggi hari ini.

JOHOR BAHRU – Satu cubaan untuk menyeludup burung Murai Batu ke luar negara menggunakan jalan laut berjaya dipatahkan oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos Tanjung Sepang, Pengerang dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, sebanyak 548 ekor burung Murai Batu telah diserahkan kepada pihaknya di Pejabat Perhilitan Daerah Bandar Penawar.

Katanya, kesemua burung tersebut ditemui kira-kira pukul 3 pagi di dalam 49 bakul plastik ketika pihak ATM sedang melakukan Op Benteng di kawasan perairan negara.

“Melalui rondaan yang dilakukan di kawasan pesisir Pantai Sungai Rengit, pihak ATM telah menemui bakul-bakul mengandungi burung Murai Batu yang diletakkan di kawasan pantai.

“Kita percaya burung Murai Batu ini cuba diseludup keluar ke negara Indonesia kerana ia mendapat permintaan yang tinggi di negara republik itu.

“Ini adalah rampasan yang terbesar pernah dilakukan di Perhilitan Johor membabitkan kegiatan penyeludupan burung ke negara jiran,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salman berkata, harga pasaran bagi burung Murai Batu ini adalah antara RM200 hingga RM400 seekor bagi kualiti yang biasa.

Katanya, burung Murai Batu ini juga boleh dijual hingga mencecah RM2,000 seekor bergantung kepada kecantikan serta kemerduan suaranya.

“Laporan polis telah dibuat dan kes akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [ Akta 716],” katanya.

Tambahnya, populasi burung Murai Batu itu dianggarkan 13.9 juta dan boleh ditemui di beberapa negara antaranya di Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China dan India.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI