PETALING JAYA – Satu sedutan rakaman video di laman sosial Instagram, airtangan_tunkuazizah menyaksiakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyantuni rakyat di sebuah perkampungan dengan membonceng motosikal semalam.
Rakaman yang berdurasi satu minit 32 saat itu menyaksikan baginda menyantuni satu keluarga dan menghulurkan bantuan peribadi baginda kepada keluarga tersebut.
Difahamkan baginda yang ketika itu melawat kawasan banjir di daerah Temerloh dengan memboceng motosikal ditahan oleh satu keluarga yang berada di tepi jalan untuk bergambar bersama baginda.
Baginda sultan turut berpesan kepada ketua keluarga tersebut untuk menjaga keluarganya yang kini sedang menempuh tempoh sukar yang dihadapi oleh rakyat Pahang ketika ini kerana berdepan banjir besar.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, pahang.
Seri Paduka Baginda tiba di PPS Dewan Majlis Perbandaran Temerloh pada pukul 3.15 petang dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda dari Mentakab. Turut mengiring baginda adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Seramai 114 mangsa banjir daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh.
Dalam lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan beramah mesra dan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.
Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda. – K! ONLINE