PETALING JAYA – Satu rakaman video tular yang menyaksikan seorang anggota polis dipercayai anggota trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya yang menumbuk seorang penunggang motosikal kini berada dalam siasatan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, siasatan awal mendapati kejadian yang dipercayai berlaku di tepi Lebuhraya Persekutuan itu ketika satu operasi Sekatan Jalan Raya (SJR) di lorong motosikal di Kilometer (KM 28.3) menghala ke Kuala Lumpur.
“Pada 8 Januari 2021 (Jumaat) antara pukul 8.00 hingga 9.00 pagi, SJR tersebut melibatkan seorang Pegawai Kanan Polis dan tujuh anggota trafik IPD Petaling Jaya.
“Dalam kejadian ini, sebuah motosikal yang ditunggang sepasang suami isteri warganegara tempatan cuba melarikan diri daripda sekatan jalan raya tersebut. Semasa melarikan diri, penunggang tersebut telah melanggar kaki salah seorang anggota yang bertugas,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nik Ezanee, penunggang motosikal tersebut berjaya ditahan oleh anggota trafik yang lain dan dikenakan saman atas beberapa kesalahn yang dilakukan.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak menggunakan lorong motosikal, tiada lesen menunggang motosikal dan cukai jalan tamat tempoh. Semakan rekod lampau juga mendapati penunggang tersebut mempunyai 58 saman di atas pelbagai kesalahan trafik.
“Setakat ini penunggang motosikal tersebut masih belum tampil membuat laporan polis berkenaan insiden yang diviralkan, kami juga telah mengenalpasti penunggang tersebut dan sedang mengesan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Namun begitu jelas Nik Ezanee, kertas inkuiri polis telahpun dibuka dan siasatan ke atas anggota yang terlibat sedang giat dijalankan.
“Pendirian kami adalah tegas dan kosisten di mana apa sahaja salahlaku pegawai dan anggota akan disiasat dengan teliti dan tindakan akan diambil dari sudut undang-undang dan juga tatatertib sekiranya didapati wujud kesalahan,” jelasnya. – K! ONLINE