SEBERANG PERAI – Polis memberkas tiga lelaki yang dipercayai melakukan kegiatan perjudian haram di kaki lima sebuah kedai makan di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini malam tadi.
Dalam operasi kira-kira pukul 8.30 malam oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu, mereka yang ditahan adalah berusia di antara 50 hingga 62 tahun.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, individu terbabit disyaki terlibat dalam kegiatan judi dadu secara online menggunakan telefon pintar.
“Soal siasat awal mendapati kesemua tangkapan mengaku terlibat dalam aktiviti perjudian itu.
“Mereka juga dikenakan kompaun kerana gagal mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara kerana berkumpul dengan jarak dekat di tempat awam,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Noorzainy, polis merampas tiga unit telefon pintar bersama kad sim, kalkulator, powerbank, buku dan kertas dengan catitan disyaki pertaruhan judi dadu, meja, kerusi plastik, kapur pelbagai warna serta sejumlah wang tunai bercampur-campur.
Sementara itu, beliau berkata, kegiatan itu didapati dijalankan dengan modus operandi permainan judi dadu secara online menerusi aplikasi di media sosial yang dimuat turun secara percuma.
“Melalui aplikasi itu, ketua pemain dikenali sebagai ‘Jonker’ akan mengawal permainan dengan pihak ‘Host’ yang dikendalikan di suatu tempat yang tidak diketahui lokasinya.
“Taktik baru ini digunakan oleh pemain-pemain agar tidak dapat dikesan polis serta senang disembunyikan semasa serbuan dan tangkapan dijalankan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE