fbpx

Tiada perarakan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Buat pertama kalinya, semua acara sempena sambutan perayaan Thaipusam yang akan bermula pada 27 hingga 29 Januari ini di negeri ini dibatalkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, ia termasuk perarakan dua pedati yang membawa Dewa Murugan iaitu kemuncak kepada sambutan perayaan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II berkata, penganut agama Hindu juga tidak dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di mana-mana kuil sepanjang tiga hari tersebut sebaliknya melakukan upacara berkenaan di rumah masing-masing.

Menurut beliau, pihak berkuasa juga akan memantau kuil-kuil di sekitar negeri ini pada hari tersebut bagi mengelak dikunjungi penganut agama Hindu sehingga memungkinkan berlakunya kesesakan.

Bagaimanapun, jelas beliau, upacara sembahyang pada tiga hari tersebut akan tetap dilakukan oleh ahli jawatankuasa kuil di dua buah kuil di sini iaitu Kuil Arulmigu Balathandayuthapani, Jalan Kebun Bunga (Kuil Waterfall Hill) dan Kuil Nattukottai Chettiar.

“Keputusan ini dibuat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 memandangkan kes tersebut dilihat semakin serius dan membimbangkan ketika ini.

“Keutamaan kita ketika ini adalah bagi mengelak bukan hanya penganut Hindu malah semua rakyat daripada mengunjungi atau berkumpul di kawasan yang sesak seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Perarakan pedati perak yang berusia lebih 100 tahun dan pedati emas yang baharu adalah kemuncak perayaan tahunan Thaipusam selama tiga hari di negeri ini.

Menurut Ramasamy, penganut agama Hindu bagaimanapun masih boleh melakukan upacara sembahyang di kuil pada hari pertama sambutan perayaan Thaipusam bermula 14 Januari sehingga 26 Januari.

Namun, katanya, upacara itu perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti ditetapkan pihak pengurusan kuil bagi mengelak jangkitan Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI