LONDON – Pasukan juara dunia MotoGP, Suzuki bakal berdepan tamparan hebat selepas individu berpengaruh yang juga pengurus musim lepas, Davide Brivio dilaporkan telah meletakkan jawatan dalam usaha menyertai saingan Formula Satu (F1) dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Brivio merupakan watak penting dalam membantu Suzuki mencipta kejutan muncul juara dunia saingan MotoGP dengan menguasai kategori pelumba dan pengeluar pada kempen musim lalu.
Brivio yang dianggap sebagai pakar permotoran era moden kelahiran Itali difahamkan telah mendapat tawaran lumayan daripada pasukan F1, Renault yang bakal dijenamakan sebagai Alpine F1 Team bermula tahun ini.
Keputusan tersebut sememangnya dijangka terutama selepas pengaruh Brivio dalam arena permotoran juga sangat besar kerana pernah menjadi individu yang meyakinkan bekas juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi berhijrah daripada pasukan Honda ke Yamaha pada musim 2003 sewaktu bergelar pengurus Yamaha.
Rossi dalam satu kenyataan sebelum ini mengakui tidak terkejut selepas menyaksikan Brivio berjaya memimpin Suzuki menamatkan kemarau gelaran kejuaraan dunia pertama sejak edisi 2000 dengan Joan Mir ditabalkan sebagai juara kategori pelumba.
“Dia (Bravio) adalah individu yang memiliki minat yang cukup mendalam dalam arena permotoran dan tugasnya menggabungkan dua budaya kerja dari Jepun dan Eropah dengan jayanya musim lalu adalah sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Namun, Suzuki difahamkan sudah mempunyai pengganti kepada Bravio sekiranya dia benar mahu ‘angkat kaki’ dalam masa terdekat dengan menyenaraikan bekas pengurus pasukan Honda dan Ducati, Livio Suppo sebagai calon utama. – AGENSI