fbpx

Sampai depan rumah motosikal rosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan motosikal Zikril yang rosak teruk akibat kemalangan syarikat kurier yang membuat penghantaran.

PETALING JAYA – Seorang lelaki buntu selepas motosikalnya rosak teruk ketika menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat kurier untuk menghantar kenderaan itu pulang ke negeri asalnya di Terengganu.

Lelaki yang ingin dikenali sebagai Zikril, 30-an berkata, dia menggunakan perkhidmatan syarikat berkenaan pada bulan Ogos tahun lalu selepas berpindah dari Johor Bharu ke Kuala Terengganu.

Katanya, motosikal jenis SYM T2 250 itu digunakannya di Johor Bharu semasa berulang-alik kerja di Singapura.

“Selepas tidak lagi bekerja di Singapura, saya ambil keputusan untuk pulang ke kampung di Chendering, Kuala Terengganu. Pada 28 Ogos tahun lalu, saya telah guna perkhidmatan sebuah syarikat kurier untuk menghantar pulang motosikal ke kampung.

“Bagaimanapun, sehari kemudiannya, syarikat terbabit ada telefon saya beritahu lori yang membawa motosikal saya terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Zikril, susulan kemalangan itu, motosikalnya rosak teruk ‘total lost’, namun tiada tawaran ganti rugi dibuat syarikat terbabit kerana mereka mendakwa motosikal itu tidak dilindungi insurans.

“Pihak kurier tidak memberitahu tentang insuran semasa saya membuat bayaran untuk khidmat pos motosikal itu. Saya ingatkan amaun RM250 yang dibayar itu termasuk insurans sekali.

“Namun paling saya terkilan adalah sepanjang tempoh kejadian itu (hampir empat bulan) pihak syarikat hanya berdiam diri. Hampir 10 kali saya menelefon mereka, namun setiap kali itulah jawapannya sama iaitu akan dirujuk kepada pihak atasan,” jelasnya.

Berang dengan jawapan itu, dia mengugut syarikat terbabit untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa sebelum syarikat kurier menawarkan pampasan bernilai RM800 pada awal Disember lalu.

Bagaimanapun katanya, dia menolak tawaran tersebut kerana nilai itu tidak sepadan dengan nilai semasa motosikalnya.

“Susulan itu, saya telah mengambil tindakan terhadap syarikat itu dengan membuat satu laporan polis, laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Saya bersedia membawa kes ini ke mahkamah sekiranya syarikat itu enggan bertanggungjawab atau memberikan pampasan yang setimpal dengan nilai motosikal saya itu,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI