PUTRAJAYA – Rakyat tidak akan diberi pilihan untuk memilih jenis vaksin Covid-19 yang akan diberikan oleh kerajaan kelak.
Itu penjelasan diberikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada rakyat boleh memilih jenis-jenis vaksin yang diingini, sejurus vaksin itu tiba kelak.
Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan akan memastikan apa sahaja jenis vaksin yang diperoleh kerajaan adalah yang berdaftar dan selamat.
“Apa yang paling penting adalah mana-mana vaksin yang didaftarkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat.
“Justeru, saya tidak mahu rakyat berkata, ‘saya dapat vaksin ini, saya dapat vaksin itu’,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Malaysia Grand Challenge (MGC) hari ini.
Katanya, sebaik diterima, vaksin itu akan diagihkan mengikut rancangan pemetaan kerajaan, berdasarkan keperluan penyimpanan dan pusat vaksinisasi yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan (KKM) – K! ONLINE