TAIPING – Polis Perak menasihatkan orang ramai agar tidak menjalankan perniagaan di kawasan lampu isyarat kerana mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah melakukan pemantauan dan memberikan teguran terhadap penjaja jalanan tersebut sejak bulan Oktober namun tidak diendahkan.
“Susulan beberapa aduan yang dibuat orang awam, kita telah melakukan Op Penjaja Jalanan pada Selasa lalu di dua lokasi persimpangan lampu isyarat sekitar IPD Taiping.
“Setelah nasihat yang diberikan polis tidak dihiraukan, kita bertindak menyaman empat penjaja mengikut Kesalahan 10(A)(1) Jual Barangan/Risalah/Loteri yang boleh didenda sehingga RM2,000,” katanya.
Tambah Osman, pemantauan akan terus dijalankan dari masa ke masa di sekitar lokasi tersebut dan aktiviti tersebut perlu dibendung bagi mengelak kejadian kemalangan yang tidak diingini.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa keping gambar berkaitan operasi tersebut yang dimuat naik Polis Daerah Taiping dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada netizen yang menyokong tindakan polis dan ada sebahagiannya meminta polis bertolak ansur ketika orang ramai berada dalam keadaan sukar akibat Covid-19. – K! ONLINE