RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di Kampung Hutan Pasir, Tendong di sini malam tadi.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, PGA turut merampas 87 biji dadah jenis erimin 5, 61 bungkus air ketum, lapan botol ubat batuk dan wang tunai.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk wang tunai dianggarkan berjumlah RM2,367.
“Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 23 hingga 25 tahun dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan mendapati hanya suspek berusia 25 tahun sahaja positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, mendapati suspek berusia 25 dan 24 tahun dipercayai mendapat bekalan dadah tersebut daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Mat.
Katanya, suspek kemudian akan menjual bahan larangan itu kepada penagih-penagih sekitar kawasan Tendong. – K! ONLINE