RANTAU PANJANG – Pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang mengakui ada dalam kalangan penduduk yang terjejas banjir di sini sanggup menyewa inap desa daripada berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail berkata, pendekatan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga daripada penularan pandemik Covid-19.
Menurutnya, ada dalam kalangan penduduk terlibat membuat keputusan berpindah ke rumah sanak-saudara.
“Berkemungkinan mereka ini tidak selesa memandangkan ramai mangsa yang berada di PPS ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.
“Selain itu, kita sentiasa menitik beratkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika penugasan memindahkan mangsa banjir dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang hari ini. -K! ONLINE