MOSCOW – Seorang petani nekad mencekik seekor serigala hingga mati selepas binatang buas itu didakwa menyerang anjing dan kuda yang dipeliharanya di Rusia.
Akhbar The Sun UK melaporkan kejadian tersebut berlaku di sebuah ladang di Kampung Novotroitskoye, Birobidzhan di Rusia baru-baru ini.
Satu rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan serigala sama menyerang dan menggigit lelaki semasa petani itu memeriksa ladangnya.
Media tempatan melaporkan, lelaki itu bergelut dengan serigala di kawasan bersalji sebelum merangkul leher dan menumbuk haiwan liar secara bertubi-tubi.
“Petani itu tidak sempat untuk mendapatkan senapangnya dan nekad melawan serigala dengan hanya tangannya.
“Lelaki itu dikatakan nekad membunuh serigala itu kerana bimbang ia akan bertindak menyerang lembu ternakannya selepas membunuh dua anjing serta mencederakan kudanya,” menurut satu laporan di Rusia.
Petani berkenaan cuma mengalami kecederaan ringan dan sudah menjalani ujian saringan penyakit rabies.
Ketua Doktor Haiwan Wilayah, Galina Dzyuba berkata, sampel serigala telah diambil bagi mengesan status sama ada binatang buas itu dijangkiti rabies atau tidak.
“Selepas keputusan ujian makmal diperoleh, kita akan tahu punca sebenar serigala itu membuat serangan sama ada faktor penyakit atau kekurangan sumber makanan di hutan,” katanya. – Agensi