fbpx

Jelitawan petah lima bahasa jadi pengulas e-Sukan dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SJOKZ merupakan seorang pemain permainan video e-Sukan yang kompetitif khususnya Unreal Tournament ‘99 sehingga berjaya mewakili Belgium di pentas antarabangsa.

ARENA e-Sukan profesional tidak dinafikan telah didominasi oleh kaum Adam dan situasi itu bukan perkara yang asing kerana ia berlaku untuk semua jenis acara sukan di dunia.

Namun, masih ada beberapa wanita yang berjaya mendapat tempat dalam industri e-Sukan antarabangsa dan lebih menarik, ada yang berjaya meraih pengiktirafan tertinggi.

Pengulas merangkap penga­cara e-Sukan terkenal kelahiran Belgium, Eefje Depoortere atau lebih mesra dengan gelaran Sjokz mengakui agak terkilan kerana bakatnya sering dipersoalkan oleh peminat e-Sukan antarabangsa.

Ini susulan kejayaan Sjokz memenangi anugerah berprestij, Anugerah Games Award 2020 bagi kategori Pengacara e-Sukan Terbaik sekali gus mengekalkan trofi tersebut buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2018.

Kata Sjokz, pengkritik mendakwa jantinanya sebagai wanita telah membuka ruang dan peluang kepadanya untuk mengukuhkan nama dalam industri e-Sukan, sekali gus mendapatkan tawaran bagi mengacarakan kejohanan elit terutama permainan video League of Le­gends.

“Saya sebenarnya agak terasa hati apabila ramai pihak mempersoalkan status jantina saya sebagai wanita menjadi punca perjalanan karier saya sebagai pengulas e-Sukan dipermudahkan.

“Bagaimanapun, saya anggap itu sebagai dakwaan tidak berasas kerana saya sangat be­kerja keras untuk berada sehingga pada tahap ini dan ia bukan perjalanan yang senang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

SJOKZ mengakui kebolehannya bercakap dalam lima bahasa menjadi penarik buat penganjur mendapatkan khidmatnya dalam bidang e-Sukan.

Sebagai rekod, Sjokz yang kini berusia 33 tahun sememangnya seorang pemain permainan vi­deo e-Sukan yang kompetitif khususnya Unreal Tournament ‘99 sehingga berjaya mewakili Belgium di pentas antarabangsa.

Namun, namanya dalam bidang pengacaraan semakin me­ningkat naik selepas menyertai rancangan Whose League is it Anyway? di laman Youtube yang dikendalikan oleh wartawan ­e-Sukan terkemuka, Travis Gafford.

Rupa Sjokz yang menawan menarik minat pe­nganjur kejohanan e-Sukan antarabangsa untuk mendapatkan khidmatnya selaku pengacara tetap khusus­nya bagi permainan video League of Legends.

SJOKZ dinobatkan sebagai Pengacara e-Sukan Terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Games Award 2020.

Namun, Sjokz mengakui kecantikan yang ada padanya tidak memberikan sebarang kelebihan sebaliknya pengetahuan luas dalam bidang e-Sukan, selain latar belakang pendidikan tinggi membuka peluangnya untuk te­rus mengembangkan ­karier.

“Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa saya adalah pe­rintis buat wanita dalam bidang pengacaraan e-Sukan dan ini membuatkan saya cukup bangga dengan pencapaian yang dimiliki sepanjang 10 tahun ini.

“Saya percaya ilmu yang saya ada dengan kebolehan bercakap lima bahasa jadi penarik buat penganjur untuk dapatkan khidmat saya. Malah, saya juga memiliki dua ijazah Sarjana untuk dua bidang berbeza,” katanya.

Selain daripada menjadi pe­ngacara e-Sukan, Sjokz juga me­rupakan wartawan sambilan dan kini tinggal secara tetap di ­Jerman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI