fbpx

JAIS sedia panduan khas laksana misi bantuan banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISI bantuan khas TIJARI yang dilaksanakan JAIS untuk mangsa banjir.

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyediakan panduan khas bagi menyelaras pelaksanaan misi bantuan di negeri yang dilanda musibah banjir.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pelbagai usaha mula digerakkan beberapa masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak.

Namun, katanya, semangat untuk membantu itu perlu diimbangi dengan kawalan penularan Covid-19 yang berada pada tahap membimbangkan ketika ini.

“Sehubungan itu, setiap misi bantuan oleh semua masjid pengurusan perlu dibuat dengan kerjasama atau pemakluman rasmi secara bertulis kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIS.

“Bagi masjid institusi, masjid kariah, surau kebenaran Jumaat dan surau kariah perlu memohon kebenaran rasmi dari Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, semua permohonan itu perlu dinyatakan lokasi, bentuk bantuan dan tempoh spesifik berada di kawasan tersebut.

“Selain itu, jumlah ahli jawatankuasa atau anggota yang terlibat perlu dinyatakan.

“Pihak pengurusan turut perlu mendapatkan kebenaran daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan memaklumkan pihaknya menyediakan mekanisme kutipan untuk misi bantuan mangsa banjir.

“Mekanisme itu turut termasuk bantuan untuk institusi masjid dan surau yang terjejas melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) di akaun Maybank 562106-718620.

“JAIS akan mengaturkan proses penyerahan sumbangan pada kadar segera melalui agensi berkaitan yang menjadi perantara misi bantuan itu,” katanya.

Jelas Shahzihan, JAIS turut menzahirkan rasa simpati atas musibah banjir yang melanda beberapa negeri tersebut. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI