BUNGA Emas yang diterbitkan sekitar 2003 mungkin pernah termeteri sebagai naskhah penamat buat kumpulan Iklim.
Tujuh belas tahun menyepi, ada namun tidak menampakkan rupa, pasti ada antara khalayak menyangka Iklim sudah lenyap daripada peta industri hiburan tanah air.
Ditambah pula pemilik suara emas mereka, Allahyarham Saleem yang cukup sinonim dengan Iklim telah pulang menghadap Ilahi pada 2018, Iklim bagaikan kehilangan suara.
Bagaimanapun telahan tersebut kini meleset, Iklim kembali dengan single bertajuk Mawar Kasturi ciptaan Mohalim bersama Umarul dan seorang rakan rapat mereka, Abd Rahman. Lebih mengujakan, kumpulan yang membina nama dengan Suci Dalam Debu itu berjaya merekrut vokalis baharu, Azmani .
Sekali dengar namanya namanya kedengaran seperti Zamani, tetapi Azmani merupakan individu yang tidak asing dengan kumpulan Iklim.
Sebelum ini Azmani merupakan penyanyi kumpulan Positif (1990) dan kumpulan Kulit (1995).
Perbandingan
Membuka lipatan sejarah, Azmani pernah menyertai Iklim sekitar 1993/1994 menggantikan posisi Saleem yang pada waktu tersebut terkekang dek beberapa isu. Justeru, Azmani ini bukan asing buat anggota Iklim yang masih dianggotai Mohalim (bass), Kama (drum), Huzali (keyboard) dan Umarul (gitar).
Berbeza dengan ahli Iklim lain yang masih aktif hingga tahun 2003, Azmani sebaliknya meninggalkan dunia nyanyian lebih awal.
Sekitar tahun 2000, Azmani mengambil keputusan untuk cuci tangan kerana tawar hati ekoran industri lebih mementingkan rupa berbanding bakat.
“Saya sedar untuk menjadi artis penting ada rupa paras untuk komersial. Tetapi apabila terlalu memperbandingkan sehingga saya rasa jauh hati dan memilih untuk undur diri sebagai jalan terbaik.
“Boleh dikatakan saya juga tidak lagi bergiat aktif dalam nyanyian. Sesekali saya bernyanyi untuk suka-suka melepaskan rindu. Itu pun dalam lingkungan keluarga dan kenalan terdekat,” tutur lelaki kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu memulakan bicara.
Kembali diajak menyertai Iklim, Azmani pada awalnya berasa sangsi dengan kemampuan diri. Dia berpendapat sudah tidak mampu menyanyi, apatah lagi setelah sekian lama tidak terlibat dalam mana-mana persembahan.
Bagaimanapun, dorongan dan keyakinan daripada isterinya, Amelda yang sanggup menyediakan segala kelengkapan seperti studio latihan nyanyian di rumah menguatkan semangat Azmani.
“Saya menerima tawaran ini bukan untuk menggantikan Saleem. Saya yakin arwah mempunyai kekuatan sendiri manakala saya hanya menyambung usahanya selama ini.
“Kumpulan Iklim telah lama wujud dan saya hanya mengisi kekosongan yang ditinggalkan arwah untuk meneruskan perjuangan Iklim.
“Sejujurnya janganlah khalayak membandingkan kami kerana saya menyertai Iklim bukan untuk bersaing dengan arwah.
“Ini juga seperti membayar hutang kepada Iklim kerana pada tahun 1994 saya terpaksa meninggalkan mereka kerana terikat kontrak untuk penghasilan album dengan kumpulan lain,” luahnya yang bersungguh-sungguh mengharapkan peminat tidak membandingkan dirinya dengan Allahyarham Saleem.
Mengulas kemunculan semula Iklim dalam arus muzik perdana, Huzali memberitahu, usaha menghidupkan semula kumpulan berasal dari Terengganu itu bermula sejak dua tahun lalu.
Sebelum ini pernah ada permintaan untuk mengembalikan Iklim tetapi hasrat itu sekadar berlalu disebabkan kekangan setiap anggota kumpulan.
Hanya pada 2019, kerinduan mereka tidak lagi mampu dibendung. Lalu terhasilnya Mawar Kasturi yang kini telah mendapat lebih 500,000 tontonan sejak video muzik rasminya dimuat naik dalam YouTube sekitar November lalu.
“Alhamdulillah dan berterima kasih kepada peminat yang masih menyokong Iklim. Maklum sahaja band orang tua macam kami, bukannya ada orang muda yang suka,” kata Huzali berseloroh.
Tambahnya, perubahan landskap industri masa kini jauh berbeza sewaktu mereka mendiamkan diri. Iklim ibaratnya, seperti orang yang terlena hampir dua dekad dan tiba-tiba terjaga dari mimpi.
Kata Huzali, kecenderungan pendengar terhadap muzik hip hop dan ditambah lagi dengan kebanjiran penyanyi baharu, pada awalnya ia menumbuhkan keraguan buat mereka, sama ada mahu kembali bangkit atau sekadar memerhatikan industri dari kejauhan.
Teknologi dan gaya hidup yang banyak dipengaruhi media sosial secara tidak langsung memberi dimensi baharu buat mereka.
“Pendengar muda sekarang sukakan lagu yang bercakap (rap) jadi awalnya kami agak risau jika tiada sambutan. Tetapi alhamdulillah, segalanya baik dan Mawar Kasturi mendapat sambutan daripada peminat.
“Disebabkan terlalu lama tidak aktif sebagai artis, saya melihat industri sekarang seperti pemanduan secara automatik. Tanpa pemandu, kenderaan masih boleh bergerak dan begitulah suasana baharu yang perlu kami sesuaikan.
“Segalanya digital seperti di media sosial, video muzik dan video lirik, semuanya perlu ada kerana zaman ini tiada lagi album fizikal. Semuanya bergantung kepada jumlah tontonan dan langganan dalam platform digital.
“Untuk bertemu media juga agak kekok kerana sudah berbelas tahun tidak melakukan sesi temu bual. Dahulu lain tapi sekarang semua yang ada ini sudah berumur. Tetapi syukur kerana masih mendapat sambutan positif daripada pendengar,” ujarnya seraya tertawa.
Usaha keras
Bukan sahaja Huzali, malah Mohalim turut mempunyai pandangan serupa. Hampir dua dekad tidak bergiat aktif membuatkan mereka sedikit canggung dan berdepan kejutan budaya.
Akui Mohalim, telah lama dia menyimpan hasrat untuk kembali bersama Iklim tetapi mungkin tahap kesediaan mereka dahulu bukan seperti sekarang. Individu yang banyak berjasa untuk kembali menggerakkan Iklim ialah pemain drum mereka, Kama.
“Syukurlah, akhirnya hasrat kami dapat direalisasikan. Setelah berbincang sesama ahli kami akhirnya mendapat kata sepakat untuk melancarkan single baharu pada pertengahan tahun lepas.
“Tetapi disebabkan Covid-19, kami terpaksa menundanya sehingga November lalu. Penggambaran video muzik juga berjalan lancar dan menerima reaksi positif.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada studio rakaman Rumie Music Lab kerana membantu proses mastering lagu Mawar Kasturi di Nashville Studio TX yang terletak di Amerika Syarikat,” jelas Mohalim.
Mohalim turut berkongsikan usaha keras mereka dalam mendapatkan label sebagai pengedar single berkenaan .
Benar kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
“Setelah dua bulan berusaha keras, kami bersyukur MVM Music bersetuju untuk menjadi pengedar lagu Mawar Kasturi. Kami tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman, MVM pula bertindak sebagai pengedar,” luahnya.
Ahli pencen
Tidak dinafikan rata-rata anggota Iklim sudah menjengah usia setengah abad atau boleh diklasifikasikan sebagai warga pencen. Dalam nada bersahaja dan ketawa, Mohalim bagaimanapun enggan berkongsikan usia setiap anggota terbuka.
Katanya, cukup sekadar umum mengetahui mereka antara pemuzik otai, sementelah sudah hampir tiga dekad dalam industri.
Mohalim sebenarnya bimbang cita rasa pendengar masa kini kerana kebanyakkan artis muda mendominasi pasaran muzik.
Bagaimanapun, Mohalim menegaskan kedatangan semula Iklim sekadar mahu memeriahkan, bukan mengejar populariti. Baginya zaman glamor sudah berakhir.
“Corak muzik dan pemikiran industri sekarang agak berbeza berbanding dahulu. Tetapi kemunculan kami bukan untuk bersaing. Sejauh mana ahli pencen macam kami dapat bersaing dengan orang muda.
“Cukuplah era kegemilangan dahulu memberikan peluang kepada kami untuk popular dan mencipta nama dalam industri. Jadi sekarang ini lebih senang bergerak secara santai dan tidak perlu terkinja-kinja di atas pentas,” katanya berseloroh.
Disoal tentang kesediaan Iklim sekiranya diberi peluang menyertai program nyanyian popular, Gegar Vaganza, Mohalim ada jawapan tersendiri.
Tidak dinafikan sejak kewujudan program tersebut ramai artis lama kembali menunjukkan taring, sekali gus membuka peluang kedua untuk meraih rezeki dalam industri.
“Saya tidak berani nak pukul rata kerana kami bergerak secara kumpulan, kena ada kata sepakat dahulu. Sekiranya peluang tersebut bersesuaian dengan semua, insya-Allah tiada masalah.
“Era kegemilangan telah berlalu dan kami pernah melaluinya. Sekarang lebih kepada mengubat rindu peminat dan pada masa sama melepaskan gian untuk berada di atas pentas,” terang Mohalim penuh semangat dan serius.
Menyimpan harapan, Iklim tetap mendambakan penerimaan peminat sekiranya Mawar Kasturi ada kesinambungan. Petunjuk ke arah seterusnya sudah diselitkan pada hujung video muzik lagu berkenaan. Tinggal lagi, masa yang akan menjadi penentu.