LYON – Bintang Olympique Lyon, Memphis Depay memberi bayangan akan terus kekal bersama pasukan itu walaupun namanya tanpa henti dikaitkan dengan perpindahan menyertai jaguh Sepanyol, Barcelona dan kini Manchester United.
Bagaimanapun, penyerang berusia 26 tahun itu menjelaskan, dia mahu memberikan fokus sepenuhnya buat Lyon bagi menghormati kontraknya bersama kelab tersebut yang akan berakhir pada Jun depan.
“Saya gembira berada di sini. Saya tiada masalah dengan semua orang termasuk presiden (Jean-Michel Aulas). Beliau adalah individu yang menyelamatkan karier saya sejak empat tahun lepas.
“Saya tidak mahu menjadi pengkhianat dan kita tunggu sahaja sehingga akhir musim ini. Tumpuan saya lebih terarah kepada perlawanan seterusnya (Ahad ini),” kata Depay.
Kenyataan itu ada benarnya kerana tonggak skuad antarabangsa Belanda itu muncul wira Lyon apabila meledak dua gol dalam kemenangan 3-2 ke atas RC Lens pada aksi Ligue 1 di Stadium Groupama awal pagi semalam.
Kemenangan itu membolehkan Lyon melebarkan penguasaan mereka di persada Ligue 1 dengan kelebihan tiga mata ke atas pencabar terdekat di tangga kedua yang juga juara bertahan, Paris Saint-Germain.
Sebagai rekod, Depay telah menjaringkan 64 gol dalam 155 penampilan bersama Lyon sejak menyertai bekas juara tujuh kali Ligue 1 itu daripada Manchester United pada 2017 sekali gus menjadi tonggak utama. – AGENSI