KEMAMAN – Pusat bandar Chukai yang menjadi nadi aktiviti ekonomi dan sosial daerah ini bagaikan lumpuh hari ini selepas beberapa laluan utamanya terutama Jalan Chukai Utama di sini ditenggelami banjir mulai semalam.
Kebanyakan premis perniagaan di kawasan tersebut yang rata-ratanya dinaiki banjir sedalam 0.5 meter terpaksa menutup operasi masing-masing hari ini.
Tinjauan menerusi udara mendapati banjir turut menjejaskan taman-taman perumahan di pinggir bandar Chukai selain Balai Bomba dan Penyelamat Chukai di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Hanafiah Mat berkata, berdasarkan situasi semasa, bilangan mangsa banjir di daerah tersebut yang kini sudah mencecah lebih 11,000 orang dijangka akan meningkat lagi.
“Saya jangkakan penambahan 1,000 lagi mangsa banjir terutama lagi di sekitar Chukai tidak lama lagi.
“Ia disebabkan air Sungai Paman, Air Putih di bahagian hulu (Kemaman) yang setinggi 6.62 meter kini sedang mengalir menuruni kawasan Chukai,” katanya selepas melakukan tinjauan udara dengan helikopter di sini hari ini.
Hanafiah berkata, paras normal Sungai Paman ialah 3.8 meter dan sehubungan itu beliau meramalkan beberapa kawasan perumahan lagi seperti Kampung Mak Chili, Taman Desa Solehah dan Banggol Permai akan turut ditenggelami banjir. – K! ONLINE