KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan, penutupan Kompleks MSN Bukit Jalil bukan satu pilihan tepat dalam mengekang jangkitan Covid-19 terus berlaku.
MSN kelmarin mengesahkan terdapat lima lagi pegawai mereka positif ujian Covid-19 ketika mengendalikan proses pendaftaran semula atlet yang balik daripada bercuti hujung tahun lalu sekali gus menjadikan jumlah kes jangkitan terus meningkat kepada 13 orang.
“Saya rasa itu bukan pilihan terbaik kerana MSN dan Kompleks Sukan Negara adalah tempat awam, jadi kita kena terima hakikat bahawa ketika ini kita sedang hidup dalam jangkitan Covid-19 kerana ia berada di mana-mana.
“Jika kita lihat lapan atlet yang terdedah dan dijangkiti wabak tersebut hanya selepas seminggu sahaja kita menuntup pusat kem latihan. Bila mereka masuk semula, mereka membawa Covid-19 ke dalam ini. Ini menyebabkan jangkitan itu tersebar.
“Pilihan kita masih kekal untuk meneruskan kem di MSN kerana pembukaan sektor sukan pada tahun ini bukan sahaja di peringkat tempatan malah juga di seluruh dunia sudah berlaku. Kita kena pastikan atlet kita sentiasa bersedia kerana dengan adanya kem latihan dapat membantu mereka. Kita akan teruskan jika mendapat arahan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.
Tegas Ahmad Shapawi, pihaknya sedikit lega apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, peratusan jangkitan tersebut terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang penularan dalaman komuniti itu.
“Kita juga telah melakukan perbincangan dengan KKM tentang peratusan dan ia adalah positif. Pada hari pertama hanya lapan individu disahkan positif dan hari kedua terdapat lagi lima individu positif Covid-19.
“Sebanyak 13 orang daripada anggaran 1,200 individu di dalam komuniti sukan di Bukit Jalil dan Kampung Pandan. Peratusan kecil ini tidak menunjukkan penularan dalaman. Kelegaan bagi kita, namun MSN akan terus mengikut prosedur untuk mengesan kontak rapat individu yang didapati positif,” tambahnya.
Kem latihan MSN ditutup selama seminggu bagi menyambut Krismas dan Tahun Baharu, seramai 466 daripada 735 atlet podium dan pelapis kebangsaan serta jurulatih kembali melaporkan diri bagi mengikuti latihan pusat sepenuh masa.
Semuanya menjalani ujian calitan di pusat latihan masing-masing yang diselaraskan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), membabitkan 20 pasukan atau jenis sukan secara keseluruhannya.
Daripada ujian itu, tujuh atlet dan seorang pegawai disahkan positif COVID-19, membabitkan dua atlet dari sukan olahraga, tenis berkerusi roda (dua), sukan bola keranjang kerusi roda (dua) dan seorang atlet boling cacat pendengaran serta seorang pegawai pengiring sukan boccia. K! ONLINE