fbpx

K2

Bantu orang ramai dapat berat badan ideal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INTAN kini turut menjadi salah seorang tenaga pengajar untuk program menurunkan berat badan.

SETELAH memasuki alam pekerjaan, perubahan berlaku kepada Intan Suraya Mohamed Aladin apabila berat badannya semakin bertambah.

Tanpa sedar berat badannya mencapai hampir 80 kilogram (kg) kerana tidak menjaga makan ketika itu.

“Setelah memasuki alam pekerjaan, saya jarang bergerak dan pemakanan juga saya tidak kawal.

“Pada waktu itu, saya makan apa sahaja yang diingini. Lama-kelamaan berat badan meningkat dalam tempoh singkat,” jelasnya.

Tambahnya yang mesra dipanggil Intan, kerana memiliki berat badan berlebihan juga dia nyaris mendapat penyakit diabetes tahap dua.

Selain itu, dia juga mudah merasa penat dan pada masa sama, pakaiannya sudah tidak muat. Pada ketika itu dia terpaksa membeli pakaian bersaiz XL.

Walaupun memilik berat badan berlebihan, Intan masih belum ada kesedaran untuk mengurangkannya.

Tetapi kerana satu ayat yang dilemparkan kepadanya membuatkannya begitu terasa dan mengambil keputusan untuk menurunkan berat badan.

“Seorang rakan menyatakan bentuk badan saya pada ketika itu sama seperti seorang ibu mengandung.

“Kata-kata itu amat menusuk hati. Saya begitu malu pada ketika itu. Disebabkan kata-kata itu, saya tekad untuk menurunkan berat badan,” jelasnya yang berasal dari Kuantan, Pahang.

Tanpa melengahkan masa, Intan mengambil keputusan untuk mula menurunkan berat badan pada awal 2017.

Tetapi pada waktu itu, dia tidak berjaya kerana kurang ilmu yang betul untuk berbuat demikian.

Akhirnya pada pertengahan 2017, Intan menyertai program menurunkan berat badan, Jom Kurus.

Menurutnya, melalui program itu dia belajar tentang diet seimbang dan juga senaman yang betul.

 

SELAIN menjaga pemakanan, Intan turut melakukan senaman bagi memastikan berat badannya konsisten.

 

“Di program itu, saya belajar tentang aspek pengambilan kalori harian.

“Saya akui pada awalnya bukan mudah untuk menurunkan berat badan jika mental tidak kuat.
Alhamdulillah, saya kuatkan mental dan dalam masa setahun dapat kurangkan lebih 25kg,” jelasnya.

Tambah Intan, akhirnya pada pertengahan 2018 dia dapat menurunkan berat kepada 53kg.

Selepas berjaya mengurangkan berat badan, Intan tekad untuk membantu mereka yang berdepan situasi sama dengannya sebelum ini untuk mendapatkan berat badan ideal.

Intan kini menjadi pelatih untuk program Senam Malaysia yang membantu mereka di luar sana untuk keluar daripada masalah berat badan berlebihan.

Selain itu, dia turut menawarkan khidmat jurulatih peribadi kepada mereka yang ingin mengikuti program tersebut di rumah masing-masing.

“Saya pernah memiliki berat badan berlebihan dan boleh rasa apa yang mereka alami.

“Atas sebab itu, saya ingin berkongsi pengetahuan dan pengalaman membantu mereka,” katanya.

Tambahnya, perjalanan untuk menurunkan berat badan bukan sesuatu yang mudah, tetapi jika seseorang itu fokus, berdisiplin dan konsisten pasti boleh melakukan.

Pelbagai kaedah boleh digunakan untuk berbuat demikian.

 

INTAN (tiga dari kiri) pernah mencapai berat hampir 80 kilogram beberapa tahun lalu.

 

Dalam hal ini, Intan lebih menekankan kaedah pengiraan pengambilan kalori yang disertakan dengan senaman.

“Untuk menurunkan berat badan seseorang itu bukannya tidak perlu makan langsung.

“Tetapi melalui kaedah pengiraan pengambilan kalori yang saya amalkan, peserta masih boleh makan lima kali sehari. Pada masa sama boleh menurunkan berat badan,” bicaranya.

Tambahnya, apa yang penting pengambilan makanan yang betul mengikut keperluan kalori seseorang.

Selain itu, Intan turut menggunakan platform media sosial Instagram peribadinya iaitu @_intatan_ untuk berkongsi tentang maklumat pengambilan makanan dan senaman yang bersesuaian.

Dia kini dalam proses menghasilkan e-buku tentang cara yang betul untuk seseorang itu
menurunkan berat badan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI