JOHOR BAHRU – Walaupun hujan masih turun renyai-renyai di beberapa daerah negeri ini namun angka mangsa banjir terus mencatatkan penurunan dengan seramai 1,422 mangsa masih ditempatkan di 16 buah pusat pemindahan sementara (PPS) yang kekal dibuka di seluruh Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, mereka terdiri daripada sebanyak 363 buah keluarga.
Ujarnya, daerah yang masih terjejas akibat banjir di negeri ini adalah Johor Bahru, Kota Tinggi, Kluang, Mersing dan Segamat.
“Jumlah mangsa banjir mencatatkan pengurangan berbanding seramai 2,260 orang pada pukul 4 petang semalam dengan setakat pukul 8 pagi hari ini hanya seramai 1,422 orang.
“Sementara itu, Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas ketika ini dengan seramai 688 mangsa ditempatkan di tiga PPS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Manakala daerah Pontian, Muar, Tangkak, Batu Pahat dan Kulai tidak merekodkan sebarang mangsa banjir setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Tambah beliau lagi, setakat pukul 8 pagi hari ini juga, dua jalan masih ditutup kepada pengguna iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Haji Suhud di Johor Bahru.
Vidyananthan turut memberitahu, masyarakat juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ekoran negara masih dibelenggu pandemik Covid-19 ketika ini.
“Sementara itu, keperluan asas khususnya makanan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di 32 PPS seluruh negeri disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.-K! ONLINE