TANAH MERAH- Tindakan pantas pasukan bomba menyelamatkan sebuah bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) daripada musnah dalam kejadian kebakaran di sini hari ini.
Bagaimanapun, dalam kajadian kira-kira pukul 9.55 pagi, kebakaran itu hanya melibatkan 25 peratus daripada keseluruhan bangunan tersebut.
Kejadian itu dikatakan disedari seorang kakitangan TNB tersebut yang kemudian menghubungi pihak bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Tanah Merah Penolong Penguasa Bomba Mohd. Rafain Mat Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.57 pagi.
Katanya, seramai 18 orang pegawai dan anggota termasuk dari BBP Machang telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman di bangunan tersebut.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota bomba bertindak mencari punca api dan membuat pengudaraan untuk mengeluarkan asap.
“Ekoran api yang marak, pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran dua pancutan pada sisi kiri dan kanan bangunan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Rafain berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.01 pagi.
Menurutnya, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE