fbpx

Bah Pantai Timur meruncing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK bergerak dari satu tempat ke tempat lain menggunakan bot di Kampung Rantau Panjang, Dungun yang ditenggelami banjir sejak kelmarin. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

PETALING JAYA – Keadaan banjir di negeri Pantai Timur semakin buruk semalam dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa hampir 23,000 orang diikuti Terengganu (8,680) dan Kelantan (5,397).

Berdasarkan aplikasi Info Banjir JKM setakat pukul 5 petang semalam, keadaan banjir di Johor menunjukkan penurunan kepada 2,255 berbanding lebih 3,000 mangsa pada kelmarin selain Perak mencatatkan 359 mangsa dan Sabah seramai 35 mangsa.

Di Terengganu, situasi banjir di Kemaman semalam semakin meruncing apabila aliran banjir sudah mula melimpah memasuki kawasan sekitar pusat bandar Chukai.

Beberapa kawasan di bandar Chukai termasuk Taman Chukai Utama di sini mula dinaiki banjir mulai pukul 12 tengah hari.

Tinjauan juga mendapati pe­nempatan yang terletak di pinggir bandar Chukai seperti Kampung Tanjung Maktat, Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Alamanda, Kampung Pengkalan Pandan dan Kampung Tempurung di sini telah ditenggelami banjir sepenuhnya.

Beberapa jalan yang di sekitar pusat bandar Chukai juga sudah mula dinaiki banjir sedalam hampir 0.2 meter hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas selain beberapa premis perniagaan termasuk pasar raya terpaksa menutup operasi masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai, Hanafiah Mat berkata, air banjir dari bahagian Hulu Kemaman seperti Paman dan Air Putih mula mengalir ke muara sungai dan melimpahi kawasan-kawasan berhampiran kawasan sungai di pinggir bandar Chukai.

Di Pahang, bilangan mangsa banjir di Temerloh naik mendadak kepada lebih 6,000 orang pada pukul 5 petang semalam berbanding 3,800 orang kelmarin.

Perkembangan tersebut meletakkan Temerloh kini sebagai daerah paling tinggi mencatatkan bilangan mangsa banjir di Pahang, sekali gus mengatasi Maran yang merekodkan 4,212 mangsa.

Keadaan air Sungai Pahang di daerah tersebut turut menga­kibatkan Stadium Majlis Perbandaran Temerloh turut digenangi air bah.

Sementara itu, di Kelantan, Pekan Rantau Panjang di Pasir Mas yang sinonim sebagai syurga beli-belah lumpuh sepenuhnya semalam apabila ditenggelami air limpahan Sungai Golok ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, laluan masuk ke pekan ber­kenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.

Menurut laporan portal ebanjir.kelantan.gov.my setakat pukul 12 tengah hari, bacaan paras air Sungai Golok melepasi paras bahaya iaitu 10.65 meter.

Seorang penduduk, Mohd. Nasran Nasuha berkata, air mula melimpah masuk ke pekan Rantau Panjang pada pukul 4 petang kelmarin.

“Paras air semakin meningkat pada sebelah malam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar pekan itu digenangi air.

“Segala urus niaga di zon bebas cukai telah ditutup. Banjir gelombang ketiga kali ini teruk sedikit berbanding sebelum itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI