SYDNEY – Seorang orang buruan bogel yang bersembunyi di celah-celah pokok di kawasan paya bakau yang dipenuhi buaya, ditemui oleh dua nelayan di utara Australia.
Lelaki tersebut dilaporkan bersembunyi di lokasi itu berhari-hari dan memakan siput untuk mengelak daripada kelaparan.
Kevin Joiner dan Cam Faust menemui lelaki bogel yang dilitupi lumpur dan penuh dengan kesan gigitan nyamuk itu meminta tolong pada tengah hari, Ahad lalu semasa mereka keluar menangkap ikan dekat Darwin, demikian menurut media tempatan.
“Kami tidak tahu bagaimana dia boleh berada di situ,” Joiner memberitahu saluran berita tempatan, Nine News semalam.
Lelaki itu mengalami dehidrasi dan memerlukan pertolongan, justeru, mereka membawanya menaiki bot, memberikan sepasang seluar pendek dan membawanya ke sebuah hospital di Darwin.
Bagaimanapun, sebaik sahaja lelaki itu tiba di hospital, polis menangkapnya kerana melanggar syarat ikat jamin
berhubung kesalahan melakukan rompakan.
Joiner dan Faust terkejut apabila mengetahui orang yang mereka selamatkan adalah suspek penjenayah.
“Kami pada mulanya bercadang melawatnya di hospital tetapi sekarang tidak lagi,” kata Faust.
Sementara itu, Komander Polis Wilayah Utara, Len Turner mengesahkan kepada media bahawa lelaki itu berada dalam tahanan polis di hospital tersebut kerana beberapa kesalahan. – AFP