fbpx

Syarikat logam didenda RM25,000 buang sisa industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chang Poay Hee yang mewakili syarikat Omega Metal Sdn. Bhd selaku orang saman mengaku bersalah atas pertuduhan melepaskan sisa buangan perindustriannya, tahun lalu.

SHAH ALAM – Tindakan sebuah syarikat kerja-kerja logam melepaskan sisa buangan perindustriannya, tahun lalu membawa padah apabila didenda RM25,000 atas satu pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rofiah Mohamad memutuskan demikian selepas syarikat Omega Metal Sdn. Bhd. selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili pengarahnya Chang Poay Hee mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan didakwa melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai bagi standard A terhadap tiga parameter meliputi kandungan pepejal terampal dengan kepekatan sebanyak 2,660 miligram perliter (mg/l) melebihi had dibenarkan 50mg/l.

Selain itu, besi pada kepekatan 20mg/l berbanding kadar dibenarkan satu mg/l dan zink pada kepekatan 15mg/l berbanding yang dibenarkan dua mg/l.

Perbuatan itu dilakukan di Lot 102, Jalan Industri 3/4, Taman Industri Integrasi Rawang, pukul 11.30 pagi pada 3 Februari tahun lalu.

Justeru, kesalahan dilakukan mengikut Peraturan 11 (1) (a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 32, akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding tersebut, peguam Tan Shao Jia mewakili syarikat itu memohon hukuman diringankan berikutan adalah kesalahan pertama sejak beroperasi pada tahun 2002.

“Anak guam saya juga telah menubuhkan makmal dalaman dan mengupah kakitangan yang berpengalaman dan kompeten bagi mengawasi pelepasan efluen daripada kilang berkenaan agar kesalahan berkenaan tidak diulangi,” jelasnya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Ir. Zulaikha Mokhtar meminta hukuman sewajarnya kerana melibatkan kepentingan awam dengan pelepasan efluen itu seperti besi dan zink boleh membahayakan alam sekitar dan kesihatan awam. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI