fbpx

Rumah usang tunggu masa roboh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tom berdiri di hadapan rumahnya yang kelihatan usang di Kampung Baru, Bakar Arang di Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri warga emas terpaksa tinggal di rumah usang di Kampung Baru, Bakar Arang di sini akibat kesempitan hidup.

Pasangan itu, Jaafar Hassan, 62,­ dan Tom Katim, 68, yang men­diami rumah tersebut sejak 50 tahun lalu tidak mampu untuk membaik pulih kediaman mereka.

Menurut Tom, dia dan suaminya yang menyara kehidupan dengan mencari perumpun mempunyai keinginan untuk tinggal di kediaman yang selesa, namun ia sekadar impian kerana tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

Wanita itu berkata, mereka yang mempunyai masalah kesihatan tidak dapat keluar mencari perumpun setiap hari. Jadi pendapatan mereka tidak menentu.

“Kerja mencari perumpun dilakukan bergantung kepada cuaca. Pada musim hujan, kami tidak dapat keluar mencari perumpun untuk dijual sebagai umpan meman­cing,” katanya ketika ditemui semalam.

Tinjauan Kosmo! mendapati, struktur rumah papan di atas tanah rizab sungai yang didiami pasangan tersebut sudah tidak lagi selamat kerana telah reput dimakan anai-anai.

Bahagian dapur rumah itu pula tidak boleh digunakan dan menunggu masa untuk runtuh menyebabkan pasangan tersebut terpaksa membina bangsal di luar rumah untuk memasak, makan dan berehat.

Kedudukan rumah pasangan itu yang terletak di kawasan rendah menyebabkan sering dima­suki air sekiranya hujan lebat.

Rumah itu dilengkapi bekalan elektrik, manakala air pula diberi secara percuma oleh seorang peniaga yang mengusahakan bahan binaan berdekatan rumah­ pasangan tersebut.

Menurut Tom lagi, dia mempunyai tiga anak dan masing-masing sudah berumah tangga.

Anak-anak pasangan itu tinggal berasingan selain turut hidup susah serta tidak mampu membantu membaik pulih rumah ibu bapa mereka.

“Walaupun anak-anak kami hidup susah, mereka tetap menjalankan tanggungjawab dengan menjaga kami termasuk makan minum dan hal kebajikan lain,” katanya.

Tambah Tom, dia dan suami­nya tidak pernah memohon bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan.

“Saya bersyukur kerana masih ada insan prihatin yang selalu menyumbang barangan dapur ketika mereka datang membeli perumpun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI