PARIS – Jurulatih baharu Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino sedia untuk memastikan bintang pasukan itu, Neymar menampilkan aksi terbaik di bawah kendaliannya.
Meskipun dianggap pemain utama PSG, namun pasukan itu masih memiliki penyerang bintang lain seperti Kylian Mbappe, Angel Di Maria dan Mauro Icardi, sekali gus mengehadkan prestasi Neymar.
Justeru, Pochettino sedia membantu pemain antarabangsa Brazil itu mencapai potensi sebenar dengan menjadikan Neymar sebagai pemain utama di bahagian serangan.
“Apabila Neymar kembali menjalani latihan bersama pasukan, kami akan mencari posisi terbaik untuknya bagi memastikan dia dapat mengeluarkan kemampuan sebenar.
“Semua pemain berperanan sebagai ketua tetapi peranannya sangat berbeza dalam situasi berlainan dan Neymar adalah salah seorang daripadanya,” kata Pochettino.
Sementara itu, bekas pengurus Tottenham Hotspur itu juga menjadikan aksi kalah mati Liga Juara-Juara menentang Barcelona bulan depan sebagai keutamaan.
“Liga Juara-Juara adalah sasaran utama kami. Masih ada tempoh sebulan sebelum perlawanan itu, jadi saya akan cuba siapkan pasukan terbaik untuk bertemu Barcelona,” ujarnya.
– AGENSI