DUNGUN – Seorang pengantin lelaki terpaksa menaiki bot sejauh tiga kilometer (km) untuk ke majlis pernikahannya hari ini apabila satu-satunya laluan keluar masuk di penempatannya di Kampung Rantau Panjang, Hulu Dungun dekat sini terputus akibat dinaiki banjir.
Mohd. Al Hafiz Razilah, 32, berkata dia bersama bapanya, Razilah Hussin, 67, dan ibunya, Norliah Abdullah, 65, menaiki bot milik Majlis Perbandaran Dungun (MPD) untuk menyeberangi jalan ditenggelami banjir sedalam lebih dua meter tersebut.
Kakitangan Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun itu berkata, mereka sekeluarga kemudiannya menaiki kereta untuk majlis akad nikah di rumah pasangannya, Nur Fatihah Hashim, 30, di Kampung Nyior, Paka dekat sini.
“Saya sudah awal-awal letak kereta di kawasan lebih tinggi tetapi tidak sangka paras banjir pada pagi ini terlalu tinggi hingga menenggelamkan langsung rangkaian jalan raya di kampung saya.
“Mujur MPD sudi membantu menyediakan bot untuk saya dan ibu bapa saya menyeberang dari rumah ke kawasan tempat letak kereta,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Al Hafiz berkata, dia terpaksa menyimpan baju pengantin di dalam beg kerana risau akan basah terkena hujan atau terendam banjir jika dipakai awal.
Ujarnya, dia hanya menyarung pakaian pengantin sebaik tiba di rumah pasangannya tidak lama sebelum upacara akad nikah.
“Nasib baik hantaran sudah disimpan awal di rumah kakak di bandar Dungun sebab saya sudah sedar risiko banjir ini.
“Alhamdulillah, majlis akad nikah berjalan lancar walapun tertunda hampir sejam dari jadual asal pukul 10 pagi,” katanya.
Mohd. Al Hafiz tetap bersyukur dan menganggap cabarannya untuk menghadiri upacara pernikahnnya yang hanya dihadiri keluarga terdekat sebagai kenangan terindah yang sukar dilupakan sepanjang hayat. – K! ONLINE