KLANG – Seorang lelaki warga emas dipercayai penagih dadah bertindak cuba membakar sebuah kedai di tingkat tiga bangunan rumah kedai selepas dihalau pemiliknya dalam kejadian di Jalan Besar Pandamaran, Pelabuhan Klang di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.50 petang itu, suspek berusia 60 tahun itu turut mengugut membakar dirinya sendiri menggunakan minyak petrol.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.54 petang daripada mangsa yang menyatakan kedai bapanya telah disimbah minyak dan cuba dibakar suspek itu.
Katanya, siasatan mendapati pemilik premis tidak berpuas hati apabila suspek yang merupakan penagih berada di kawasan tersebut.
“Suspek yang enggan keluar daripada kawasan tersebut selepas diminta pemilik premis kemudiannya bertindak menghalang laluan tangga di tingkat dua bangunan itu sambil memegang botol berisi petrol.
“Lelaki warga emas itu juga bertindak membakar dirinya sekiranya pihak polis cuba memasuki premis tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan suspek yang merupakan gelandangan itu menjadikan kawasan sekitar kedai yang terletak di tingkat tiga bangunan itu sebagai tempat tidurnya.
Suspek kemudiannya berjaya ditangkap dengan bantuan pihak bomba dalam insiden yang berlarutan lebih setengah jam itu.
Jelas Shamsul Amar, semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 448 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang, Anas Ahmad Zubaidi memberitahu seramai 12 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.20 petang dan tiba lapan minit kemudian.
“Anggota polis mengambil masa selama 10 minit untuk memujuk suspek sebelum ditangkap dengan bantuan pihak polis,” katanya. – K! ONLINE