SELEPAS disahkan negatif daripada virus Covid-19, skuad badminton negara mula turun menjalani latihan menjelang kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok bermula 12 hingga 17 Januari ini.
Setakat ini, semua pemain menerima layanan yang sangat baik daripada pihak penganjur termasuk dari segi pengangkutan khas bagi memudahkan mereka ke venue pertandingan.
Sebelum ini, pemain beregu campuran negara, Shevon Lai berkata, ketika tiba di Bangkok, mereka hanya dibenarkan menjalani latihan ringan bersendirian di bilik hotel.
Pihak penganjur terpaksa mengambil pendekatan sedemikian bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini sebelum mendapat keputusan ujian calitan setiap pemain.
“Sebaik menerima keputusan ujian calitan Covid-19, barulah semua pemain dibenarkan menjalani latihan dan dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pagi di dalam gelanggang manakala petang untuk gimnasium.
“Kami perlu bersiap sedia seawal pukul 6.20 pagi untuk menaiki bas bagi menjalani latihan di dalam gelanggang. Semuanya berjalan dengan baik dan saya puji peranan penganjur di sini,” kata Shevon.
Walaupun dibenarkan menjalani latihan di dalam gelanggang, namun semua pemain diminta mematuhi penjarakan fizikal ketika memanaskan badan bagi mengelak penularan Covid-19.
Pemain-pemain badminton negara dijangka berada di Bangkok sehingga hujung bulan ini bagi menyertai tiga kejohanan termasuk dua aksi Terbuka Thailand dan Jelajah Dunia Akhir.