RANTAU PANJANG – Pekan Rantau Panjang yang sinonim sebagai syurga membeli belah menerusi zon bebas cukai hari ini lumpuh sepenuhnya apabila ditenggelami banjir limpahan Sungai Golok ekoran hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan Kosmo! mendapati laluan masuk ke pekan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat sahaja.
Menurut laporan portal ebanjir.kelantan.gov.my setakat pukul 12 tengah hari tadi menunjukkan bacaan paras air Sungai Golok melepasi bahaya iaitu 10.65 meter.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd. Nasran Nasuha berkata, air mula melimpah masuk ke pekan Rantau Panjang pada pukul 4 petang semalam.
Menurutnya, paras air semakin meningkat pada sebelah malam menyebabkan beberapa kawasan rendah di sekitar pekan itu di tenggelami air.
“Segala urus niaga di zon bebas cukai telah ditutup. Banjir gelombang ketiga kali ini teruk sedikit berbanding sebelum itu.
“Apa yang membimbangkan penduduk di sini apabila melihat air naik dengan begitu cepat pada kejadian banjir kali ini,” katanya.-K! ONLINE