fbpx

Misi memburu ePiala Dunia FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMTUAH (kiri) dan Ismirza (kanan) bersama pengurus pasukan, Aimanulhaq Zaharuddin menaruh keyakinan tinggi 90 peratus peluang layak ke ePiala Dunia 2021.

BINTANG e-Sukan negara, Nur Amirul Afandi bersedia memanfaatkan pengalaman luasnya di pentas antarabangsa dalam permainan video FIFA dengan memastikan Malaysia berjaya me­nyambar tiket automatik ke pentas ePiala Dunia 2021.

Pemain yang lebih dikenali dengan gelaran AmTuah itu akan mewakili pasukannya, Team Haq (THQ) bersama-sama Iskandar Mirza Mohd. Mustafa (IsMirza) menggalas cabaran Malaysia menghadapi Kelayakan ePiala Dunia peringkat Asia hari ini.

Keyakinan dua wakil Malaysia itu ketika ini berada pada tahap tertinggi dengan AmTuah, 27, menyifatkan mereka sudah bersedia sepenuhnya terutama dari segi kekuatan mental untuk menghadapi 16 pasukan bertanding me­rebut gelaran sebagai juara.

“Kelayakan peringkat Asia dipecahkan kepada dua bahagian, Asia Timur dan Asia Barat. Hanya juara setiap kelayakan akan layak secara automatik ke ePiala Dunia yang dijangka berlangsung sekitar September nanti.

“Saya merasakan kami ada 90 peratus peluang untuk layak ke ePiala Dunia. Persediaan sudah lama dilakukan bagi memastikan kami mencapai sasaran layak ke ePiala Dunia.

“Keyakinan kami memang tinggi kerana sudah diterapkan oleh pengurus pasukan (Aimanulhaq Zaharuddin) bahawa kami mahu menang dalam setiap pertandi­ngan disertai. Buat apa kami sertai kejohanan kalau tidak menyasarkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

AmTuah yang pernah menjadi wakil tunggal Asia pada Piala Dunia Sukan Elektronik (ESWC) 2016 di Paris, Perancis akan menggunakan konsol permainan Xbox manakala IsMirza pula akan menggunakan PlayStation 4 pada kelayakan hari ini.

“Format pertandingan menggunakan FUT (FIFA Ultimate Team) dan perlawanan secara kalah mati, tetapi ada loser ­bracket. Pemenang akan ditentukan menerusi jumlah keseluruhan agregat jaringan.

“Kami anggap Jepun sebagai pencabar utama kerana kita tahu e-Sukan di Asia sememangnya didominasi oleh pemain-pemain dari negara berkenaan. Kalau Asia Tenggara pula kami jangka tentangan dari Indonesia,” jelas AmTuah.

Kemampuan AmTuah dalam permainan video FIFA tidak perlu dipertikaikan lagi berdasarkan kejayaannya bergelar juara Asia Tenggara sebanyak tiga kali selain pernah disambar gergasi Jerman, Schalke 04 pada Kejohanan Virtuelle Bundesliga 2018.

Pemain dari Kuala Lumpur itu turut mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila membimbing pasukan Malaysia yang diwakili Muhammad Luqman Haziq Hajiman dan Ahmad Shahrin Shaharudin menjuarai Gamergy La Liga eSport 2019 di Madrid, Sepanyol.

IsMirza, 23, juga tidak kurang hebatnya apabila sering layak beraksi dalam pelbagai pertandingan FIFA tempatan termasuk kejohanan anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) tahun lalu.

Mengulas lanjut, AmTuah yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Perbankan Islam di Universiti Tun Abdul Razak, berharap segala pengorbanannya terutama pembahagian masa antara kerjaya dan latihan berbaloi apabila layak ke ePiala Dunia 2021.

“Kami akan berlatih empat jam dari pukul lapan malam hingga 12.30 tengah malam supaya mental tidak letih. Kami sudah 100 peratus bersedia untuk kejohanan esok (hari ini),” kata AmTuah yang meminati legenda Real Madrid dan Sepanyol, Iker Casillas.

Sebagai rekod, edisi terakhir ePiala Dunia yang diadakan di London dua tahun lalu dimenangi oleh pemain Jerman, Mohammed Harkous dan naib juara menjadi milik Mosaad Aldossary dari Arab Saudi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI