SEREMBAN – Sebuah premis yang dipercayai mengunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tanpa kelulusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) di Taman Seremban Jaya diserbu dalam Operasi Penguatkuasaan Halal dekat sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan itu dilakukan pada pukul 11.15 pagi oleh sepasukan pegawai dari KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS.
Menurutnya, tindakan berkenaan adalah hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS selama seminggu.
“Premis tersebut merupakan sebuah perusahaan pembuatan makanan iaitu biskut dan roti. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan ini telah digantung pada 23 September tahun lalu dan seterusnya telah ditarik oleh JHEAINS pada 12 Oktober tahun lalu.
“Namun begitu, logo halal Jakim masih digunakan pada paket-paket pembungkusan produk keluaran perniagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, tadi.
Ain berkata, sebanyak 687 unit paket produk makanan keluaran perniagaan berkenaan disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada berkuasa telah disita dengan anggaran nilai
rampasan sebanyak RM 834.80.
Menurutnya, kesemua barangan tersebut di sita di bawah Per. 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Per. 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan danPenandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan, bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM 500,000.
“Bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE