PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri Perak akan memastikan industri makanan mencukupi melalui akuakultur yang dapat mengimbangi pengeluaran ikan di negeri ini.
Sehingga kini, seluas 955.4 hektar digunakan untuk aktiviti akuakultur merangkumi sistem akuakultur kolam air payau, sangkar laut dan ternakan kerang di daerah Kerian dan ia merupakan salah satu kawasan penyumbang besar dalam industri makanan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria berkata, akuakultur perairan di Kerian merupakan lokasi aktif dalam pengeluaran industri makanan apabila memiliki sebanyak 111 sangkar yang diusahakan 192 orang secara keseluruhan.
“Pengeluaran hasil laut melalui rangkuman aktiviti akuakultur di sini pada akhir tahun 2019 memberi hasil pulangan sebanyak RM209.6 juta.
“Pada tahun lalu dari Januari sehingga November pula, sebanyak 12,800 metrik tan dapat dihasilkan dengan pulangan RM216.4 juta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke sangkar ikan di perairan Kerian di sini hari ini.
Katanya, penghasilan akuakultur di sini selain untuk pasaran tempatan, ia turut dipasarkan ke Pasar Borong Selayang, Pasar Borong Melaka dan Pasar Borong Pandan di Johor termasuk dieksport ke Singapura.
“Kerajaan negeri juga turut menghulurkan peruntukan kepada pengusaha akuakultur marin ini melalui Jabatan Perikanan termasuk bantuan jaring dan beberapa peralatan lain bagi meningkatkan hasil usaha akuakultur,” katanya. – K! ONLINE