HULU TERENGGANU – Seorang bapa yang sedang membuat persiapan majlis menyambut menantu yang dijadual esok termenung selepas rumahnya di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil di sini sudah mula dinaiki banjir semalam.
Mohd. Idris Che Alas,66, berkata, dia kini berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan kenduri kahwin anak lelakinya, Ahmad Lokman Nilhakim, 28, dengan pasangannya, Nor Syamimi Mat Razi, 27, atau sebaliknya.
“Persiapan untuk majlis menyambut menantu yang telah dirancang sejak dua bulan lalu telah hampir lengkap. Pelamin akan dipasang petang ini dan makanan untuk 100 tetamu juga telah siap ditempah.
“Begitu pun rumah saya buat masa ini telah dinaiki banjir setinggi 0.3 meter sejak pukul 9 malam semalam,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Idris berkata, dia mungkin menukar tatacara majlis menyambut menantu tersebut jika keadaan banjir tidak surut mahu pun semakin buruk.
Bapa kepada lima anak berkenaan berkenaan berkata, mengikut perancangan kenduri tersebut dijadual bermula pada pukul 11 pagi esok manakala keluarga pihak perempuan yang berasal dari Jerteh, Besut bakal tiba selepas solat Zuhur.
“Kalau banjir makin buruk tentu majlis terpaksa dibatalkan tetapi saya berhasrat untuk membungkus makanan yang tersedia sebelum diedarkan ke rumah jiran-jiran dan pusat pemindahan sementara,” katanya. – K! ONLINE