PUTRAJAYA – Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa kedua akan dilaksanakan secara temu ramah bersemuka mulai 20 Januari sehingga 6 Februari depan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia akan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Operasi Pembancian di Lapangan Banci 2020 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, pelaksanaan fasa kedua itu juga mengambil kira kawasan yang terjejas berikutan bencana banjir dengan penyesuaian dilaksanakan bagi memastikan semua penduduk Malaysia dibanci.
“Prapelaksanaan fasa kedua Banci 2020 ini melibatkan aktiviti semakan di lapangan dan penyenaraian tempat kediaman di kawasan terpilih termasuk urusan logistik telah pun dimulakan.
“Pegawai banci yang berada di lapangan juga akan membantu orang ramai untuk melengkapkan pengisian e-Census dan menyelesaikan bancian kawasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, pelaksanaan fasa kedua itu melibatkan 43,000 pegawai banci yang akan dilantik di seluruh negara. – K! ONLINE