fbpx

Atlet Malaysia dan sains roket

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

SUDAH genap seminggu Tahun Baru 2021 membuka tirai. Ada yang teruja serta bersemangat mengharunginya atas dasar dan tujuan masing-masing dalam mencapai makna hidup, ada juga masih terkial-kial mengenai apa perlu dibuat?

Tidak dinafikan, tahun baru dijadikan oleh sebahagian besar manusia yang hidup di muka bumi ini sebagai hari atau garis permulaan kepada sesuatu yang mahu dicapai dalam kehidupan.

Pada sebahagian lagi jenis manusia, mungkin tahun baru itu seperti hari-hari biasa yang dilalui seperti sebelum ini, tiada apa perlu digembar-gemburkan kerana hanya tarikh yang berubah sedangkan siang dan malam rutinnya tetap sama.

Bagaimanapun, apabila bercakap mengenai tahun baru, melangkah ke angka 2021 seolah-olah memberi pengertian besar berbanding tahun-tahun sebelum ini. Seakan-akan ada sesuatu tersangkut pada anak tekak yang harus dilegakan, jika tidak air liur di dalam mulut akan sentiasa terasa pahit.

Dalam erti kata lain, banyak hal harus dihadam serta dilunaskan pada tahun ini memandangkan tahun 2020 sudah memberi tunjuk ajar yang amat mendalam untuk diingati sebagai sejarah pada abad ini.

Apabila bercakap mengenai dunia sukan pula, tidak dinafikan segala perancangan pada tahun lalu banyak yang tergendala, ada pun yang dirancang hanya berjalan dalam keadaan terhad dan peraturan ketat hingga menghilangkan keindahan saingan sukan itu sendiri.

Pada masa sama, atlet yang sudah berada di kemuncak prestasi hilang tempat beradu tenaga apabila beberapa kejohanan termasuk Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun ditangguhkan pada tahun ini.

Bagi segelintir atlet, penangguhan Sukan Olimpik satu rahmat sebab masih ada masa untuk memperkemaskan diri dan sebahagian lagi mungkin tidak terjejas langsung. Namun, penulis mendapati beberapa atlet negara positif dengan penangguhan itu, malah menyifatkan kehadiran semua atlet ke Olimpik nanti sebagai berada pada tahap sama, maknanya semua bermula kosong.

Mungkin ada benarnya, semua atlet dunia berdepan masalah sama iaitu tiada kejohanan atau pertandingan, hanya berlatih sepanjang tahun lalu. Masing-masing bermula kosong.

Adakah situasi ini akan memberi kelebihan kepada atlet Malaysia dan apakah keadaan itu juga akan memberi petanda bahawa negara bakal menggenggam pingat emas pertama Olimpik pada tahun ini?

Penulis mahu bersikap positif, senada dengan atlet negara bahawa semua pihak akan bermula di tanda aras sama pada Sukan Olimpik nanti. Apa yang diperlukan untuk berbeza dengan lawan nanti adalah kecekalan mental ketika beradu tenaga.

Meminjam kata-kata Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kelmarin, ‘ini bukan sains roket’. Maksudnya, atlet tidak perlu pening-pening atau menyulitkan situasi ketika bersaing, apa yang penting adalah kekal tenang, jangan gemuruh dan fokus.

Justeru, atlet-atlet negara yang akan bersaing di pentas antarabangsa bermula dengan kejohanan badminton Terbuka Thailand minggu depan harus fokus dan tenang mendepani lawan. Selamat maju jaya buat atlet Malaysia. “Jia You! Jia You!”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI