JASIN – Tindakan melampau tauke perabot ‘menyumbat’ kira-kira 150 pekerja warga asing tinggal di dalam sebuah rumah panjang dan empat kontena yang diubah suai selama beberapa tahun lalu terbongkar selepas diserbu penguat kuasa di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Tenaga Kerja Malaysia (JTKM) Melaka bersama beberapa agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) di sebuah kilang perabot di Ayer Tawar, Melimau.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JTK Semenanjung Malaysia, Zaini Yaacob, berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua pekerja itu terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Nepal.
Katanya, kesemua pekerja itu bukan sahaja dibiarkan tinggal di dalam ruang yang sempit tetapi tidak mempunyai keperluan asas mencukupi termasuk tidur berkongsi katil, tidak mempunyai tilam dan hanya menyediakan tiga buah tandas untuk kegunaan.
“Hasil maklumat, kilang perabot yang telah beroperasi lebih 20 tahun ini melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
“Kita mendapati pihak majikan telah menyumbat pekerjanya di dalam sebuah rumah panjang dan empat kontena dengan ruang yang tidak mencukupi sehingga mereka terpaksa tinggal dalam keadaan bersesak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas operasi tersebut. Turut hadir sama Pengarah JTK Melaka, Rosli Jantan.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu terdapat ruang yang sepatutnya mampu menempatkan hanya lapan orang pekerja dalam satu-satu masa, namun jumlah itu digandakan kepada 16 orang, malah tempat tidur juga menjadi ‘dapur’ menyimpan makanan.
“Kita nampak bahawa syarikat ini tidak mematuhi peraturan berkenaan, sebagai contoh pekerja terpaksa berkongsi katil yang sepatutnya tidak boleh, malah ada yang tidak ada tilam.
“Bila kita tengok keadaan katil itu amatlah menyedihkan, tempat tinggal tidak dibuat secara teratur dan sempit, tempat tidur juga disimpan bahan-bahan makanan yang sepatutnya disimpan di tempat lain,” katanya.
Tambahnya, kesemua pekerja asing itu juga tidak pernah menjalankan ujian calitan Covid-19 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Kita akan membuka kertas siasatan memandangkan banyak kesalahan yang dilakukan majikan ini untuk tindakan seterusnya iaitu pendakwaan mengikut undang-undang ditetapkan.
“Bagi kesalahan tidak mendapat perakuan JTK berhubung penginapan pula, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Sementara itu Rosli berkata, setakat ini terdapat kira-kira 1,981 majikan di negeri ini yang menggaji kira-kira 54,358 pekerja asing, namun hanya 82 majikan yang telah membuat permohonan perakuan. – K! ONLINE