KLANG – Polis menahan tujuh lelaki yang bertindak samseng terlibat dalam pergaduhan ketika meminta wang perlindungan sebanyak RM500 daripada seorang pemilik restoran ditahan sekitar daerah ini Isnin lalu.
Kesemua suspek berusia 22 hingga 57 tahun itu diberkas menerusi beberapa siri serbuan dalam tempoh tiga jam bermula pukul 8 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 11.50 malam pada Ahad lalu apabila pemilik restoran berusia 27 tahun itu telah didatangi suspek yang meminta wang perlindungan daripadanya.
Katanya, wang perlindungan yang diminta dianggarkan kira-kira RM500.
“Bagaimanapun, pemilik restoran itu enggan menyerahkan wang tersebut sebelum suspek bertindak memanggil beberapa rakannya masuk ke restoran itu dan memecahkan barangan di situ.
“Kumpulan suspek juga didapati menyerang pelanggan yang berada di restoran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kumpulan samseng itu dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan tidak menolak kemungkinan ada penglibatan dengan kongsi gelap.
Sehubungan itu, Shamsul Amar menegaskan, pihaknya memburu empat lagi suspek yang turut terlibat dalam insiden merusuh itu.
“Mereka adalah Tan Chee Siang, Tey Kok Chun, Hew Chee Chong dan Tan Chee Kin yang berusia 20 hingga 34 tahun.
“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE