PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan kononnya air empangan hidroelektrik di Cameron Highland, Pahang dilepaskan sehingga menyebabkan banjir.
TNB dalam satu kenyataan media berkata, paras air di empangan tersebut berada pada bawah paras limpahan, maka tiada pelepasan air berlaku seperti ditularkan di media sosial.
“Paras air di dua lagi empangan TNB iatu di Tasik Kenyir, Terengganu dan Sungai Perak, Perak juga di bawah paras limpahan dan tiada pelepasan air dilaksanakan.
“Sejak Ogos tahun lalu, TNB telah membuat persediaan awal di ketiga-tiga empangan itu dengan melakukan pelepasan terkawal bagi menurunkan paras air empangan agar dapat menampung peningkatan jumlah air ketika musim tengkujuh,” jelas kenyataan itu hari ini.
Kata TNB, syarikat utiliti itu juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan latihan kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik dan pejabat operasinya bagi meningkatkan kecekapan.
Justeru, TNB menasihati orang ramai agar tidak berkongsi hantaran media sosial yang ditularkan pihak tidak bertanggung jawab berkenaan pelepasan air Empangan Cameron Highland hingga menyebabkan banjir.
Menurut TNB, orang ramai wajar menyemak kesahihan hantaran di media sosial sebelum membuat perkongsian bagi mengelakkan kegusaran kepada masyarakat.
“Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB CareLine,” kata kenyataan itu. – K! ONLINE