SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dakwaan sesetengah pihak bahawa masjid dan surau ditutup di negeri ini.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad dalam kenyataannya berkata, Sultan Sharafuddin bertitah secara faktanya masjid dan surau terus dibuka dengan diberikan kelonggaran secara berperingkat berdasarkan situasi semasa Covid-19 setempat.
“Surat kelonggaran dikeluarkan oleh Pengarah JAIS terus kepada masjid dan surau terlibat dan tidak disiarkan kepada media kerana kelonggaran yang akan dan kerap berubah-ubah mengikut keadaan setempat.
“Baginda mahu agar kelonggaran yang diberikan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh ahli kariah untuk beribadah dengan aman dan tenang di samping memastikan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS dikuatkuasakan oleh pentadbir dan dipatuhi sepenuhnya oleh jemaah,” katanya.
Beliau memberitahu, Sultan Sharafuddin menitahkan perkara itu selepas menghadap baginda bagi membincangkan beberapa perkara berhubung kelonggaran baharu yang diberikan kepada masjid, surau kebenaran Jumaat dan surau seluruh Selangor.
Mohd. Shahzihan menegaskan, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan perasaan sama berhubung tanggapan segelintir masyarakat terhadap telahan menyatakan keputusan baginda menghalang umat Islam untuk beribadah di masjid atau surau.
“Baginda menyatakan sikap seumpama itu adalah seorang yang hanya pandai bercakap tanpa berfikir panjang.
“Keprihatinan baginda kepada kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat di negeri amatlah tinggi dan tidak mahu masjid dan surau menjadi tempat cetusan penularan baharu yang akan menambah jumlah bilangan kluster sedia ada,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Shahzihan menjelaskan semua masjid dan surau seluruh Selangor telah diberikan kelonggaran menunaikan solat Jumaat dan fardhu lima waktu berkuatkuasa, kelmarin.
Kebenaran itu meliputi Masjid Negeri (Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah) dan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dengan kapasiti seramai 500 jemaah bagi solat Jumaat dan 150 bagi solat fardhu lima waktu.
Bagi sebanyak 39 masjid pengurusan dan 17 buah masjid institusi pula dibenarkan 300 jemaah untuk solat Jumaat dan 150 bagi fardhu lima waktu.
“Selain itu, 40 jemaah termasuk pihak pentadbir dibenarkan bagi solat fardhu lima waktu untuk seluruh masjid dan surau di negeri ini.
“Manakala, untuk solat Jumaat di masjid dan surau kebenaran Jumaat di Klang, Petaling, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat dan Gombak dibenarkan 40 jemaah tidak termasuk pihak pentadbiran. Sementara, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor mengikut kapasiti sebenar dewan solat utama selepas penjarakan 1.5 meter,” katanya. -K!ONLINE