PETALING JAYA – Keadaan cuaca lembap dan mendung yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akibat luruan angin sejuk menyebabkan kebanyakan kawasan di Semenanjung terutamanya Pantai Timur dan Pantai Barat mengalami cuaca sejuk.
Jabatan Meteorologi (METMalaysia) berkata, keadaan yang berawan dan tiada cahaya matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari lalu turut menyumbang kepada berlakunya keadaan cuaca lebih sejuk berbanding biasa.
“Pada 3 Januari lalu, suhu terendah direkodkan di Terengganu, Pahang dan Johor iaitu 21 dan 22 Celsius.
“Bagaimanapun, keadaan ini adalah biasa disebabkan hujan dan mendung berlaku sepanjang hari,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu turut disokong pengguna Facebook dikenali sebagai Rose yang berkata, cuaca sejuk ketika ini turut dirasai di kediamannya di Kota Kinabalu, Sabah.
“Memang sejuk sekarang, apabila tiba waktu malam kami perlu menggunakan selimut tebal. Cuaca di sini juga adakalanya mendung,” katanya.
Di Gua Musang, penduduk di daerah ini merasai cuaca sejuk apabila hujan renyai-renyai masih berlanjutan selain diselubungi kabus di kebanyakan tempat terutamanya kawasan berbukit sejak beberapa hari lalu.
Seorang penduduk, Amran Mamat, 47, berkata, cuaca sejuk dapat dirasai pada waktu malam dan pagi.
Menurut lelaki itu, cuaca dingin tersebut menyebabkan keadaan berkabus tebal sehingga mengehadkan pandangan terutamanya pada awal pagi.
“Kami bagaikan berada di kawasan peranginan Cameron Highlands. Udara sejuk akibat hujan juga menyebabkan kami terpaksa memakai baju dan berselimut tebal,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Bagi Hasnah Deraman, 48, dia turut menggigil terutama semasa mandi kerana airnya yang sejuk.
“Saya terpaksa menghantar pakaian ke kedai dobi untuk membasuh dan mengeringkan pakaian kerana cuaca di sini lembap,” katanya.
Di Ipoh pula, cuaca yang melanda bandar raya ini ketika ini boleh disifatkan lebih sejuk berbanding hari-hari biasa apabila suhu mencecah 23 Celsius pada tengah malam hingga awal pagi semalam.
Abdul Aziz Abbas, 44, yang tinggal di Chemor berkata, cuaca dingin terutama pada waktu malam menyebabkan dia dan keluarga tidak perlu lagi menggunakan pendingin hawa.
“Saya hanya menggunakan kipas dan kadangkala terpaksa memakai baju berlengan panjang,” ujarnya.
Bagi guru, Azana Rita Abdul Aziz pula, cuaca sejuk menjadikan suasana di dalam rumah pada waktu siang lebih selesa.
Wanita yang tinggal di Taman Meru Raya itu memberitahu, keadaan kawasan kediamannya yang berbukit menambahkan lagi suasana dingin terutama pada waktu malam.
“Saya juga kadangkala terpaksa mandi menggunakan alat pemanas,” ujarnya.-K! ONLINE