SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri sempat membantu saudaranya melakukan persiapan kenduri kesyukuran sebelum maut dalam kemalangan di Kilometer 65.5 Jalan Alor Setar–Butterworth, Padang Temusu dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mangsa, Mt Kassim Mt Isa, 61, dan Azizah Mohamed, 5, dilanggar Perodua Kembara.
Motosikal tersebut yang jatuh ke laluan bertentangan kemudian dilanggar kereta jenis Toyota Vios dan Proton Iswara.
Mt Kassim maut di lokasi kejadian manakala isterinya, Azizah Mohamed, 57, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira pukul 10.05 malam semalam.
Anak saudara mangsa, Mohd. Nasir Husain, 48, berkata, kejadian berlaku ketika ibu dan bapa saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Sri Gedung di sini.
“Mereka bantu buat persiapan kenduri di rumah seorang saudara di Permatang Tinggi C, Kepala Batas di Pulau Pinang.
“Selepas selesai bantu menggoreng ayam, mereka pulang ke rumah dan beritahu akan datang semula ke majlis kenduri yang sepatutnya berlangsung hari ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSAH di sini hari ini.
Katanya, dia sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan pasangan suami isteri tersebut maut dalam kemalangan.
Tambahnya, kenduri kesyukuran itu dibatalkan dan diganti dengan kenduri tahlil untuk kedua-dua arwah. – K! ONLINE