BAGI memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka ketika menggunakan pengangkutan awam, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan aplikasi perancang perjalanan Planning Your Lifestyle Efficiently (PULSE).
Aplikasi tersebut digunakan untuk perkhidmatan tren dan bas Rapid KL di bawah seliaan Prasarana di sekitar Lembah Klang.
Penggunaan aplikasi itu juga akan diperluaskan untuk perkhidmatan bas Rapid Penang di Pulau Pinang dan Rapid Kuantan di Pahang pada pertengahan tahun ini.
Dengan aplikasi ini orang ramai mampu merancang perjalanan apabila turut menyediakan maklumat mengenai jangkaan masa ketibaan bas dan tren serta pelbagai maklumat lain yang boleh menjadikan perjalanan direncana secara efisien.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, aplikasi PULSE adalah satu lagi inisiatif daripada Kumpulan Prasarana untuk meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.
“Dengan adanya aplikasi baharu ini, para pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana dapat merancang perjalanan mereka dengan lebih baik sekali gus mengoptimumkan masa mereka untuk lebih produktif selain membantu meningkatkan produktiviti diri, organisasi dan juga negara secara keseluruhan.
“Aplikasi ini boleh didapati di platform Google Play Store serta Apple App Store untuk dimuat turun dan digunakan para pengguna perkhidmatan Rapid KL atau mereka yang belum menggunakannya,” katanya.
Tajuddin berharap warga kota terutamanya akan memuat turun dan mencuba mempraktikkan aplikasi PULSE ini yang sememangnya direka berciri mesra pelanggan dan mudah digunakan.
Untuk peringkat permulaan, aplikasi PULSE boleh digunakan untuk perkhidmatan Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor meliputi rangkaian tren LRT laluan Kelana Jaya, LRT laluan Ampang, LRT laluan Sri Petaling, laluan bagi Monorel, Bas Rapid Transit bagi laluan Sunway, perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL dan juga bas perantara Jom Naik MRT.
Bagi fasa keduanya yang meliputi perkhidmatan bas Rapid Penang dan Rapid Kuantan pula dijangka mula dipraktikkan pertengahan tahun ini.
Berupaya menjadi pilihan perjalanan yang terbaik bagi pengguna, aplikasi PULSE menyediakan maklumat tentang status perkhidmatan setiap mod perkhidmatan Prasarana dan jangkaan masa ketibaan atau Estimated Time of Arrival (ETA) bas dan tren berdasarkan kepada data masa sebenar (real time).
Selain itu, aplikasi tersebut juga mempunyai ciri kiraan tambang Fare Calculator yang akan mempamerkan tambang perjalanan bagi perkhidmatan Rapid KL. Aplikasi tersebut turut dilengkapi dengan ciri status perkhidmatan (Service Status) di mana pengguna boleh mengetahui status perkhidmatan awam untuk hari berkenaan.
Sementara itu, ciri lain pada aplikasi itu adalah App Push Notification di mana pihak pengendali akan menghantar mesej tentang apa-apa perubahan dalam perkhidmatan awam berkenaan secara terus ke telefon pintar pengguna pada bila-bila masa.
Aplikasi tersebut juga menyediakan ciri Maklumat Dekat Saya (Near Me) yang membolehkan pengguna melihat stesen-stesen yang berdekatan dengan mereka. Ia pastinya ciri menarik yang didambakan terutamanya oleh pengguna-pengguna yang baru ‘berjinak-jinak’ menggunakan pengangkutan awam.
Dalam masa sama melalui aplikasi itu, pengguna boleh menyalurkan maklumat kepada pihak pengendali secara terus melalui ciri Hubungi Kami (Contact Us).