PETALING JAYA- Rakyat Malaysia mahu melihat UMNO memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka menerusi jawatan yang diberikan dalam kerajaan sekarang, dan bukannya berpolitk merebut kuasa.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, UMNO sedang diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpin parti itu prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis.
Tegasnya yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Sembrong, berpolitik keterlaluan hanya membuatkan rakyat mual dan hilang keyakinan.
“Iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah kita (BN) hanya menang 79 kerusi pada PRU-14 daripada 133 kerusi yang kita menangi pada PRU-13. Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini.
“Tambahan, kita masih berperang dengan Covid-19. Kes harian masih tinggi. Negara juga sedang dilanda banjir. Ekonomi juga sedang dipulihkan. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, UMNO harus mempunyai hala tuju yang jelas dalam menentukan kerjasama politik.
“Ini adalah kerana keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan UMNO, dan juga kedudukan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang.
“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum-15. Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?,” katanya.
Beliau mahu Ahli Majlis Tertinggi UMNO jelaskan kepada ahli parti dan rakyat apa yang parti itu inginkan selepas bermesyuarat malam ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin memaklumkan akan meletakkan jawatan sekiranya parti memutuskan semua menteri UMNO perlu melakukan sedemikian. -K! ONLINE