“ADA banyak tipu muslihat semasa berada di dalam hutan selain persekitarannya yang berbeza mengikut keadaan tanah, jadi kita perlu sentiasa berwaspada walaupun telah biasa dengan kawasan tersebut,” ujar Lans Koperal Rizad Uleh, 30.
Lelaki Orang Asli berketurunan Semai dari Kampung Lata Kinjang, Chenderiang, Tapah, Perak ini merupakan anggota platun penjejak atau platun tracker dari Kompeni C, Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq yang berpangkalan di Kem Bidor, Perak.
Hanya batalion Senoi Praaq mempunyai platun penjejak sesuai dengan kemahiran anggotanya yang merupakan masyarakat Orang Asli.
Dalam Senoi Praaq yang secara umumnya mahir dalam ilmu hutan, platun penjejak ini disifatkan sebagai yang paling pakar dalam melakukan penjejakan musuh atau kehadiran manusia dan haiwan di dalam hutan.
Platun penjejak berkekuatan 36 anggota ini diketuai seorang pegawai berpangkat Inspektor sebagai ketua platun. Sebagai platun khusus, ia sering kali digerakkan dalam sesuatu operasi yang memerlukan kepakaran menjejak.
Platun ini ditugaskan dalam beberapa operasi di hutan termasuklah pencarian gadis remaja Ireland, Nora Anne Quoirin di Pantai, Negeri Sembilan pada Ogos 2019 dan pencarian seorang pemuda Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang hilang pada Mac 2019 di Gopeng, Perak.
Platun ini perlu melalui tapisan dan latihan keras bagi memastikan ia cuma disertai anggota yang benar-benar berkemahiran. Hanya setelah lulus latihan, mereka layak memakai lencana bertulis tracker pada bahu yang berlambangkan dua bilah beliung bersilang.
Beliung merupakan senjata tradisional masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang digunakan untuk menebang pokok, bercucuk tanam dan berburu.
Dengan susuk tubuh sederhana, Rizad sering ditugaskan sebagai penjejak hadapan dalam seksyen platun itu yang akan bergerak mendahului anggota pasukan lain.
Sebagai penjejak hadapan, Rizad umpama mata dan telinga kerana perlu memberi tumpuan selain cerdas mentafsir keadaan berdasarkan pemerhatian seperti seorang pemburu yang lazim dikaitkan dengan Orang Asli. Bezanya, bukan haiwan yang diburu di rimba sebaliknya jejak manusia yang menjadi musuh.
“Menjejak adalah kemahiran mentafsirkan petunjuk seperti kesan tapak kaki, tanda-tanda semula jadi termasuk keadaan tanah. Kami boleh mengesan usia manusia yang melalui sesuatu tempat di hutan berdasarkan lengkung tanah, hadir bersendirian atau dalam kumpulan serta berjalan seperti biasa atau mengundur.
“Kami juga boleh mengesan apa yang merentasi pada ranting yang patah atau berapa lama telah dilalui,” ujarnya yang telah tujuh tahun menyertai pasukan Senoi Praaq.
Rizad mewarisi darah kepolisan daripada bapanya, Koperal Uleh Bahpang, 48, yang bertugas di Batalion 18 PGA Senoi Praaq di Kem Pengkalan Hulu, Perak.
Malah, dia juga merupakan cucu saudara kepada Sarjan Mejar Apot Saad iaitu penjejak lagenda Senoi Praaq sebelum menyertai 69 Komando yang juga penerima pingat keberanian Panglima Gagah Berani (PGB).
Rizad amat mengagumi kemahiran datuk saudaranya itu termasuk kisah-kisah kejayaan Apot semasa bertempur dengan pengganas komunis.
“Kebolehan Apot yang dianggap pakar penjejak menyebabkan dirinya digeruni pengganas komunis,” katanya.
Senoi Praaq atau bermaksud Orang Perang ditubuhkan pada 16 Mac 1955 ilham Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli ketika itu, Leftenan Kolonel ROD Noone bagi menyekat pengaruh komunis dalam kalangan masyarakat Orang Asli.
Pada 1 Januari 1968, Senoi Praaq menjadi sebahagian daripada kekuatan Pasukan Polis Hutan (PPH) dan kemudiannya PGA.
Pengalaman lebih 30 tahun sebagai anggota penjejak turut dikongsi Sarjan Mejar Ahmad Bakar, 60.
Ahmad yang merupakan etnik suku Temiar dari Gua Musang, Kelantan menyertai Senoi Praaq pada tahun 1978 dan pernah menyertai Operasi Bamboo iaitu operasi khusus menjejak pengganas komunis di perbatasan Kelantan dan Perak. Operasi ini melibatkan sepenuhnya anggota Senoi Praaq.
“Pengganas komunis tidak mudah meninggalkan kesan kerana mereka mempunyai pelbagai taktik mengelirukan pasukan keselamatan di dalam hutan. Misalnya jejak berjalan secara mengundur agar kita terpedaya dalam menjejaki mereka.
“Pernah dalam satu operasi pada tahun 1987, kami dikerah mengesan jejak pengganas komunis yang sebelum itu telah bertempur dengan pasukan keselamatan. Kami mengekori jejak musuh selama satu bulan sehingga ke sempadan Malaysia-Thailand,” ceritanya yang juga bertindak selaku jurulatih platun penjejak.
Ahmad berkata, walaupun sebati dengan persekitaran di hutan sejak kecil, namun tugas menjejak dalam operasi tempur berbeza berbanding berburu kerana harus berwaspada disebabkan musuh juga memiliki kemahiran tersendiri.
Katanya, walaupun ancaman pada masa kini berbeza berbanding dahulu tetapi keupayaan musuh atau pihak lawan tidak boleh dipandang remeh, lantas anggota penjejak Senoi Praaq perlu dilengkapi kemahiran-kemahiran lain.
“Sebab itu selain kemahiran menjejak, anggota platun ini turut didedahkan dengan kemahiran seperti perubatan, berenang, menyelam skuba dan latihan menembak tepat selain perlu menguasai ilmu pertempuran.
“Mereka (anggota platun penjejak) tidak boleh selesa atau berpuas hati dengan pencapaian sedia ada sebaliknya perlu sentiasa menyiapkan diri dan berlatih untuk menajamkan kemahiran,” ujarnya yang bakal bersara penghujung tahun ini.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq, Superintendan Rosman Kasman berkata, penubuhan platun penjejak bersesuaian dengan keperluan semasa selain mengiktiraf kebolehan anggota-anggota Senoi Praaq.
“Selain operasi dan tugas kawalan di sempadan, kita juga membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) untuk membanteras pemburu haram.
“Pasukan Senoi Praaq perlu bersedia mendepani cabaran akan datang dan tidak hanya terhad pada kemahiran hutan,” ujar beliau.